BEIJING: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tiba di Beijing hari ini bagi memulakan lawatan kerja tiga hari ke China, yang antara lain bertujuan meningkatkan kerjasama dalam sektor penyiaran, komunikasi digital, serta industri perfileman antara Malaysia dan China.
Ini adalah lawatan sulung Fahmi ke negara Tembok Besar itu sejak dilantik sebagai menteri pada Disember 2022.
Sebaik tiba, Fahmi dijadual mengadakan pertemuan dengan badan kerajaan yang mengawal selia industri penyiaran di China, iaitu National Radio and Television Administration (NRTA), bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama seperti polisi undang-undang, kerjasama kandungan, dan pemerkasaan teknologi untuk pembangunan industri.
Menerusi pertemuan tersebut, satu memorandum persefahaman (MoU) dijangka dimeterai antara kerajaan Malaysia dan China yang membabitkan kerjasama dalam bidang media dan penyiaran.
Fahmi juga dijadual mengadakan pertemuan dengan wakil China Film Administration (CFA).
Jadual padat Fahmi akan diteruskan dengan mesyuarat dua hala bersama Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China Jin Zhuanlong, pada sebelah petang.
Esok, beliau dijadual bertemu dengan pengurusan China Media Group (CMG) dan syarikat teknologi satelit China, Geespace, serta menyaksikan perjanjian usaha sama oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Altel.
Pada hari terakhir lawatan, Fahmi juga dijadual menyaksikan pemeteraian MoU yang melibatkan pengendali rangkaian mudah alih negara (MNO).
Menteri Komunikasi itu kemudiannya dijadual berlepas ke Korea Selatan bagi menyertai GSMA Mobile 360 APAC yang berlangsung pada 1 Okt hingga 2 Okt, dan beliau dijadual menyampaikan ucaptama menerusi sesi “Building the AI-Enabled Digital Backbone.
GSMA ialah badan perdagangan yang mewakili kepentingan pengendali rangkaian mudah alih di seluruh dunia. – BERNAMA