Nibong Tebal: Dua lelaki warga Vietnam yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun kilang, ditembak mati selepas mereka menyerang anggota polis menggunakan parang pada kejadian di Bukit Panchor, di sini, jam 3.20 pagi tadi.
Terdahulu, sepasukan anggota polis terserempak dengan sebuah Proton Waja di tempat kejadian yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya menghampiri kereta itu.
“Kereta itu dinaiki dua lelaki berusia 38 dan 39 tahun. Mereka baru keluar dari kilang berhampiran.
“Kami mengarahkan mereka berhenti untuk pemeriksaan sebelum kedua-duanya dengan bersenjatakan parang menyerang anggota bertugas.
“Kami yang tiada pilihan melepaskan empat das tembakan untuk mempertahankan diri. Kedua-dua suspek disahkan mati di lokasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai Selatan, di sini.
Menurut beliau, susulan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan enam kes pecah kilang di Pulau Pinang dan lima kes serupa di Kedah membabitkan kerugian RM317,700.
Hamzah berkata, pemeriksaan di tempat kejadian menemukan dua bilah parang dan pelbagai peralatan untuk pecah masuk premis.
“Siasatan mendapati, kedua-dua suspek terbabit dengan jenayah pecah kilang sejak 2017 selain memiliki dokumen perjalanan diri sah.
“Polis sedang mengenal-pasti saki-baki suspek lain yang masih bebas,” katanya,
Hamzah berkata, taktik penjenayah ialah memecah masuk kilang atau pejabat yang dipercayai menyimpan wang tunai dalam kuantiti besar.
“Penjenayah akan mengkaji premis dijadikan sasaran sebelum memecah masuk.
“Kami masih menyiasat sama ada kumpulan penjenayah ini bekerja dengan ‘orang dalam’ premis dijadikan sasaran,” katanya.
Hamzah berkata, seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala seorang lagi, enam rekod lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk proses selanjutnya.