WASHINGTON: Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat tujuh orang yang mengalami simptom influenza selepas terdedah dengan pesakit selesema burung di Missouri.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam satu kenyataan, penemuan itu meningkatkan kemungkinan penularan jangkitan daripada manusia kepada manusia yang pertama.
Bagaimanapun, tiada seorang pun yang diuji positif untuk influenza burung dan kerja pemantauan sedang dijalankan sama ada mereka mempunyai antibodi terhadap virus yang merebak dalam kalangan burung serta lembu tenusu di AS.
Enam daripada mereka adalah pekerja penjagaan kesihatan yang bertemu dengan individu AS pertama yang diketahui dijangkiti selesema burung, manakala seorang lagi adalah kontak rapat yang berada di rumah dengan pesakit.
Kesemua mereka mengalami simptom pernafasan ringan selepas pendedahan.
Sementara itu, seorang diuji negatif untuk selesema burung dan yang lain tidak diuji untuk jangkitan berkenaan kerana mereka dikenal pasti dengan cepat untuk membuat diagnosis, kata CDC.
Lebih daripada 100 pekerja penjagaan kesihatan terdedah kepada pesakit Missouri itu pada pelbagai tahap semasa orang itu dirawat di hospital, tambah agensi berkenaan.
“CDC terus memantau dengan teliti data yang tersedia daripada sistem pemantauan selesema, terutama di negeri terjejas dan tidak terdapat tanda-tanda kegiatan selesema yang luar biasa dalam kalangan manusia, termasuk di Missouri,” kata agensi berkenaan.
Sebanyak 14 kes selesema burung dilaporkan di AS pada 2024 termasuk pesakit Missouri yang didedahkan pada awal September. Sumber jangkitan itu masih belum dikenal pasti. – AGENSI