MANCHESTER: Pep Guardiola mengesahkan yang Manchester City akan kehilangan khidmat Rodri sehingga tamat musim ini selepas pemain itu cedera ligamen lutut hujung minggu lalu.
Pemain tengah itu menjalani pembedahan lutut di Madrid semalam, sekali gus merencatkan misi City memburu kejuaraan kelima berturut-turut musim ini.
“Musimnya sudah berakhir. Malangnya dia mengalami situasi terburuk. Tetapi itulah hakikatnya. Malang sekali ia berlaku di peringkat ini.
“Kami akan memberikan sokongan kepadanya, dia akan pulih langkah demi langkah. Beberapa bulan tanpa pemain utama buat kami, semua orang mengetahuinya,” kata Guardiola.
Pemain Sepanyol itu cedera ketika babak pertama perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal yang berkesudahan 2-2 di Etihad pada Ahad lalu.
Musim lalu, empat daripada kekalahan City dalam semua pertandingan adalah ketika Rodri tidak dapat beraksi – sama ada kerana kecederaan atau penggantungan. – AGENSI