MADRID: Aksi tetangga Madrid tertangguh selepas penyokong Atletico Madrid membaling objek kepada penjaga gol Real, Thibaut Courtois dalam keputusan 1-1 itu.
Selepas buntu mencipta gol dalam tempoh 45 minit pertama, rembatan Eder Militao meletakkan pelawat di depan pada minit ke-60 aksi di Stadium Metropolitano itu.
Courtois meraikan jaringan pemain Brazil itu ke atas bekas kelabnya dan peminat tuan rumah mula melepaskan geram kepada penjaga gol Belgium berkenana.
Bekas penjaga gol Chelsea itu dipinjamkan ke Los Colchoneros dari tahun 2011 hingga 2014 dan membuat 150 penampilan untuk Atletico dalam semua pertandingan.
Kamera televisyen merakam Courtois mengetepikan objek-objek yang dilemparkan kepadanya – seperti pemetik api dan beg plastik.
Pengadil kemudian mengambil keputusan untuk menghentikan permainan dan membenarkan pemain kedua-dua pasukan keluar padang bagi mengawal situasi.
Pengendali Atletico, Diego Simeone dilihat merayu kepada penyokongnya untuk menghentikan perbuatan berkenaan. Beberapa pemain termasuk Koke dan Jose Maria Gimenez menyertai Simeone.
Selepas 15 minit, permainan diteruskan dan Atletico terus mengasak untuk memburu gol penyamaan.
Pemain gantian, Angel Correa akhirnya menjaringkan gol penyamaan untuk Atletico, tetapi dibatalkan pengadil sebelum VAR membatalkan keputusan awal itu. – AGENSI