KUALA LUMPUR: Pendakwaan dalam kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menegaskan, saksinya boleh dipercayai dan berwibawa serta memberikan keterangan konsisten sepanjang perbicaraan berlangsung meskipun diasak hebat peguam.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang berhujah di akhir kes pendakwaan berkata, saksi pendakwaan mengesahkan mereka bertindak di bawah kepercayaan bahawa arahan diterima adalah daripada Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, peguam menyatakan saksi pendakwaan tidak boleh dipercayai kerana mereka sama ada saksi yang korup, bertindak mementingkan diri sendiri atau cuba menyelamatkan tengkuk masing-masing.
Bagaimanapun, Ahmad Akram mempersoalkan sama ada bolehkah pembelaan menyalahkan saksi terbabit sekiranya mereka percaya tindakan dibuat atas arahan Najib yang ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Katanya, saksi pendakwaan mungkin menerima arahan daripada orang lain seperti ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan Allahyarham Datuk Azlin Alias iaitu Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib.
“Mereka percaya arahan itu benar-benar daripada Perdana Menteri ketika itu. Pembelaan juga menyatakan saksi pendakwaan ke sembilan iaitu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) bersubahat dengan Jho Low untuk menjalankan skim 1MDB.
“Saya ingin mengulangi adakah Shahrol Azral akan melakukan semua tindakan ini tanpa sokongan orang yang sangat berkuasa? Adakah dia berani melakukan itu jika dia tidak disokong orang yang paling berkuasa?
“Shahrol Azral malah cuba mengatasi Lembaga Pengarah 1MDB dalam membuat keputusan, tetapi beliau tahu akhirnya Najib akan berkata “tidak mengapa…tiada siapa yang disiasat, mereka semua ‘dibersihkan’,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Akram berkata, tindakan yang dilakukan Najib sejak penubuhan 1MDB (sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA)), dengan jelas menunjukkan beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.
Beliau berkata, Najib memainkan peranan penting dalam menukar nama TIA kepada 1MDB bagi menjaga kepentingan peribadinya dalam dana kekayaan negara itu.
Katanya, bekas Pembantu Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin mengesahkan bekas Perdana Menteri itu mahu TIA menjadi wadah khas untuk pelaburan strategik di luar negara dengan Jho Low akan bertindak sebagai pengarah.
“Bukti menunjukkan tertuduh menyebabkan pindaan dibuat kepada Memorandum & Artikel (M&A) 1MDB untuk meletakkan dirinya dalam kawalan tunggal bagi perkara penting berkaitan perniagaan dan hal ehwal syarikat,” katanya.
Ahmad Akram berkata, Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh ketika memberi keterangan, berkata Najib mengarahkan lembaga pengarah menegaskan keputusan memuktamadkan usaha sama palsu dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) berjumlah AS$1 bilion walaupun bergelut dengan dana RM5 bilion daripada penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam ( IMTN).
“Saksi itu juga menyatakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Ariffin memberi taklimat kepadanya mengenai apa yang perlu dikatakan apabila beliau dipanggil memberi keterangan di hadapan jawatankuasa itu pada 2016.
“Ini bagi menjaga nama tertuduh dan Jho Low. Beliau juga mendedahkan sebelum memberikan keterangannya, tertuduh menghubunginya sendiri dan mengarahkannya berjumpa Hasan,” katanya.
Ahmad Akram berkata, Najib secara sistematik menyingkirkan Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah apabila beliau menyedari penubuhan 1MDB.
Beliau berkata, Ahmad Husni menasihatkan tertuduh supaya mengikut protokol dengan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung jenis perniagaan, risiko dan liabiliti.
Bagaimanapun, beliau berkata, Najib sebaliknya memberitahu Ahmad Husni, ‘Saya akan teruskan.’
Ahmad Akram berkata, ia jelas menunjukkan kepentingan Najib dalam 1MDB, kerana beliau dengan sengaja mengecualikan Ahmad Husni, iaitu satu-satunya individu di Kementerian Kewangan yang mempunyai sebarang bentuk pengaruh ke atas syarikat itu.
Hujahan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.