Ehsan Property lancar projek pembangunan bersepadu baharu di Nilai

NILAI: Pemaju hartanah, Ehsan Property bersedia melancarkan pembangunan bersepadu baharu di Negeri Sembilan pada suku keempat 2024.

Projek ini, yang dikenali sebagai Ehsan Widuri dan terletak di Nilai, merupakan satu langkah signifikan dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk ruang kediaman berkualiti dengan penekanan kepada kelestarian dan rekaan inovatif.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Ehsan, Datuk Abdul Hamid PV Abdu, berkata

projek-projek sedia ada pemaju itu adalah contoh terbaik dalam menunjukkan dedikasi berterusan mereka terhadap kualiti dan inovasi.

“Berdasarkan kejayaan pembangunan sedia ada kami, Ehsan Property bersedia untuk mengulangi formula kejayaan ini di Ehsan Widuri, yang menyasarkan demografi pembeli rumah yang baharu terutama segmen pembeli rumah pertama, pasangan muda dan pelabur.

“Dengan menggabungkan reka bentuk moden dan elemen kehidupan lestari, kami berharap dapat menarik minat pembeli yang bukan sahaja mencari rumah, tetapi juga gaya hidup yang selari dengan nilai-nilai mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menekankan lokasi strategik pembangunan Ehsan Widuri, yang membolehkan penduduk menikmati akses kepada pelbagai kemudahan.

Katanya, ini memberi potensi pulangan yang tinggi kepada pelabur serta pengalaman hidup yang luar biasa bagi pemilik kediaman.

Menurutnya, sebagai pemaju hartanah, Ehsan Property telah menjadi peneraju dalam mencipta konsep kediaman yang unik.

“Ehsan Property terus berkembang dalam pasaran hartanah yang dinamik. Komitmen kami terhadap inovasi membolehkan kami menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi yang sentiasa berubah dan keutamaan pengguna yang berbeza.

“Kami bertekad untuk mencipta bukan sekadar rumah, tetapi ruang kediaman yang mencerminkan aspirasi setiap penghuni. Melalui inovasi, kami sentiasa meningkatkan standard pembangunan,” katanya.

Fasa 1 Ehsan Widuri akan memperkenalkan 242 unit pangsapuri servis di Blok A (tingkat 9 hingga 30), bersama-sama dengan tujuh lot pejabat, enam lot kedai dan tujuh tingkat dengan 540 petak tempat letak kereta.

Fasa 2 akan menambah 242 unit lagi di Blok B, dengan pelbagai jenis reka bentuk unit yang berukuran daripada 730 kaki persegi hingga 980 kaki persegi, yang direka untuk memenuhi pelbagai keperluan dengan harga yang berpatutan.

Pembangunan ini menawarkan pelbagai fasiliti termasuk kolam renang, taman permainan kanak-kanak, trek jogging, kawasan permainan air untuk kanak-kanak, taman herba, dewan serbaguna, perpustakaan, gimnasium, sauna, dan bilik yoga.

Selain itu, terdapat juga dewan perkahwinan dan pameran yang dibuka kepada penduduk dan orang awam.

Terletak di kawasan yang pesat membangun, Ehsan Widuri dikelilingi oleh destinasi membeli-belah seperti AEON Mall Nilai, MESAMALL, Lotus Nilai dan Nilai 3, selain kemudahan sukan dan rekreasi seperti Kompleks Sukan Nilai dan Dataran Nilai.

Kemudahan kesihatan berdekatan termasuk Hospital Aurelius dan Hospital Columbia Asia – Seremban, manakala institusi pendidikan seperti USIM, Universiti Nilai, Universiti MILA dan Universiti INTI juga berada dalam jangkauan.