Kecoh di WTKL: Wanita Palestin mohon maaf, menyesali perbuatan

KUALA LUMPUR: “Saya minta maaf… saya minta maaf… saya minta maaf.. dan saya berharap kamu akan menerima permohonan maaf saya.”

Demikian diluahkan Aminah Muhammad Nafi Jamal Abd Rabah, salah seorang wanita Palestin yang terbabit dalam insiden kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL), baru-baru ini.

Selain memohon maaf, wanita terbabit juga mengaku menyesali perbuatannya itu yang tercetus berikutan beliau hilang kawalan kerana bimbang akan keadaan anaknya yang masih berada di Gaza dan gagal dihubungi.

“Saya minta maaf dan sangat menyesali apa yang saya lakukan. Saya bersumpah kepada Allah SWT bahawa saya tidak buat dengan sengaja. Kami sedang melalui situasi dan keadaan sangat sulit yang hanya Allah tahu.

“Saya adalah ibu kepada tiga anak syuhada (anak syahid). Selain itu, sudah seminggu saya tidak boleh hubungi anak-anak saya (yang masih berada di Gaza)… tiada komunikasi dan saya tidak dapat tahu apa-apa mengenai mereka di sana, demi Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu rakaman video yang dimuat naik dalam akaun TikTok @tahreergh, malam tadi.

Dalam pada itu, Aminah menggambarkan rakyat Malaysia sebagai orang yang baik, murah hati dan menghormati satu sama lain, selain berterima kasih kerana masyarakat negara ini menerima serta memberikan layan baik kepada mereka.

“Kamu melayan kami dengan segala kebaikan, hormat dan penghargaan. Kamu sudah melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab, tetapi kamilah yang melakukan kesalahan terhadap anda (rakyat Malaysia).

“Saya bersumpah dengan nama Allah SWT dan sekali lagi memohon maaf kepada anda atas apa yang saya lakukan, dengan penuh penyesalan besar,” katanya.

Aminah ialah antara 127 rakyat Palestin tiba di negara ini pada 16 Ogos lalu atas tujuan rawatan bagi kecederaan dialami akibat peperangan di Gaza yang menyaksikan Israel melancarkan serangan berterusan.

Mereka terdiri daripada 41 rakyat Palestin cedera bersama 86 waris yang dibawa menggunakan dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir.

Baru-baru ini, tular beberapa rakaman video yang memaparkan kekecohan di WTKL membabitkan sekumpulan rakyat Palestin.

Mereka dipercayai bertindak sedemikian kerana kecewa tidak dibenarkan menginap di luar WTKL.

Susulan itu, Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali, tampil memohon maaf berhubung insiden berkenaan.