Cheng Hoe jawab khabar angin ke Terengganu

KUALA LUMPUR: Nama bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dikaitkan sebagai pengendali baharu pasukan Liga Super, Terengganu FC (TFC).

Spekulasi itu bermain di media sosial selepas TFC mengumumkan perpisahan dengan bekas jurulatih mereka, Tomislav Steinbruckner pada 1 Oktober lalu.

Cheng Hoe yang sebelum ini membimbing kelab Thailand, Police Tero FC bagaimanapun menafikan spekulasi itu dan menganggap ia sebagai khabar angin.

“Saya pun tak tahu apa berita pun dan saya tak dengar apa-apa berita dari Terengganu FC. Jadi saya fikir itu khabar angin sahaja,” katanya kepada BH Sukan.

TFC sebelum ini mengesahkan Steinbruckner menamatkan kontrak lebih awal atas persetujuan bersama susulan prestasi kurang memuaskan skuad Penyu.

Tugas ketua jurulatih TFC ketika ini digalas oleh penolong jurulatih, Badrul Afzan Razali dan dibantu ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Hairuddin Omar.

Cheng Hoe yang juga bekas pengendali Selangor dan Kedah ketika ini masih tidak menyertai mana-mana pasukan selepas berpisah dengan Police Tero, Jun lalu.

Pengendali berusia 56 tahun itu menjelaskan bahawa beliau berhasrat untuk meneruskan kariernya di luar negara sekiranya mendapat peluang terbaik.

“Saya belum putuskan apa-apa, kalau ada peluang saya nak teruskan kerjaya di luar negara lagi. Saya tak tahu berapa lama saya akan dapat tawaran itu tapi kerja jurulatih memang macam itu. Kita tak boleh tergesa-gesa, kena sabar,” katanya.