BANGI: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memerlukan RM3.75 bilion bagi menaik taraf kawasan penanaman padi luar jelapang, dalam usaha mencapai 80 peratus status Kadar Sara Diri (SSL) pengeluaran beras menjelang 2035.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata ketika ini, kapasiti pengeluaran kawasan penanaman padi luar jelapang yang berkeluasan 75,000 hektar adalah sekitar 2.5 hingga 3 tan saja.
Katanya, pengeluaran itu rendah berikutan daripada sistem pengairan substandard yang perlu dinaik taraf, justeru setiap hektar padi luar jelapang memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM50,000.
“Apabila usaha menaik taraf ini berjaya dilakukan, secara tidak langsung kapasiti pengeluaran semua jelapang padi (210,000 hektar) dan luar jelapang berupaya bertukar kepada status lima tan dan ke atas bagi setiap musim, menjelang 2035.
“Buat masa ini, data terkini pada tahun lalu menunjukkan SSL menurun kepada 56.2 peratus daripada 62.8 peratus , di mana angka itu adalah besar dan memberi kesan kepada industri padi negara.
“Ini menyebabkan negara perlu mengimport lebih banyak beras bagi mencukupkan keperluan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Hari Keterjaminan dan Keselamatan Makanan, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani.
Pada majlis itu, turut dilancarkan dua buku bertajuk ‘Principle in Plant Microbe Interaction for Sustainable Agriculture’ dan ‘Soil Microbiome Dynamics and Adaption in Stress Management’.
Badrul Hisham berkata, berdasarkan laporan daripada Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), kadar pertumbuhan pengeluaran padi di Malaysia ialah -0.57 peratus sejak 10 tahun lalu (2013-2024) dan ia disifatkan sebagai terkebelakang.
“Justeru KPKM perlu melakukan reformasi industri padi untuk berada pada landasan tepat menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula pada 2026.
“Jadi sekiranya kerajaan memberikan peruntukan dan meluluskan ia dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan 18 Oktober ini, kementerian yakin boleh mencapai tahap 80 peratus SSL pengeluaran beras pada masa akan datang.
“Malah, jika kita optimis, tidak mustahil negara juga mampu eksport beras ke negara luar,” katanya.