MUAR: Seorang remaja berusia 15 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol budak perempuan sebaya sejak Mei lalu selepas menyelinap masuk ke rumah keluarga mangsa.
Tertuduh dihadapkan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.
Dia didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun itu di sebuah rumah di daerah ini, jam 9 pagi, 25 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, remaja lelaki berkenaan dituduh melakukan jenayah itu terhadap mangsa sama pada jam 8.30 pagi pada Mei dan Jun tahun ini, dengan ketiga-tiga kejadian di tempat sama.
Berdasarkan laporan dibuat bapa mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 25 September lalu, kejadian ketika ahli keluarga remaja perempuan itu tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Tertuduh dilaporkan memasuki rumah mangsa secara bersembunyi dan kemudian merogolnya sebelum perbuatan itu terbongkar apabila dia terserempak bapa remaja perempuan terbabit.
Dia yang ditahan pada hari sama laporan polis dibuat, tidak diwakili peguam pada prosiding hari ini, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Mohd Rofaie.
Remaja itu mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah memerintahkan ikat jamin RM5,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 19 November depan untuk sebutan kes, serahan dokumen dan juga lantikan peguam.
Tertuduh gagal membayar ikat jamin ditetapkan lalu dibawa ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.