SINGAPURA: Dr Lee Wei Ling, anak perempuan kepada pengasas dan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, meninggal dunia hari ini pada usia 69 tahun.
Pemergian mendiang empat tahun selepas disahkan menghidap penyakit otak degeneratif iaitu sejenis penyakit jarang jumpa.
The Straits Times melaporkan, kematian Wei Ling disahkan oleh adik lelakinya, Lee Hsien Yang dalam catatan Facebook pada jam 5.50 pagi tadi.
Anak kedua daripada tiga beranak itu adalah adik kepada Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong.
Menulis di Facebook, Hsien Yang berkata, kakaknya seorang pejuang dan wataknya kekal tidak berubah sepanjang hidupnya.
“Dia sangat setia kepada rakan-rakan, bersimpati secara naluri dan akan bergerak secara aktif untuk melakukan sesuatu apabila dia melihat ketidakadilan atau apa disyaki sebagai salah laku,” tambahnya.
Dr Wei Ling, pakar neurologi yang mengetuai Institut Neurosains Kebangsaan sebagai pengarah dari 2004 hingga 2014, didiagnosis dengan palsi supranuklear progresif pada 2020.
Keadaan itu menjejaskan pergerakan fizikal, termasuk berjalan, keseimbangan dan pergerakan mata, membawa kepada komplikasi serius seperti radang paru-paru dan tercekik.
Mengumumkan diagnosisnya dalam catatan Facebook pada 8 Ogos 2020, mendiang menyifatkan ia sebagai ‘penyakit otak agak jahat’ yang akan mengakibatkan kematian.
Dr Wei Ling dilahirkan pada 1955, hasil perkongsian hidup Kuan Yew dan Kwa Geok Choo. Bapanya menjadi perdana menteri serta pengasas Singapura ketika mendiang berumur empat tahun.
Pencapaian mendiang dicatatkan dalam artikel akhbar selama bertahun-tahun, seperti ketika dia menjadi seorang daripada warga Singapura termuda yang memperoleh tali pinggang hitam dalam karate pada 1970.
Selain itu, apabila dia menamatkan pengajian dengan cemerlang tahun demi tahun hingga menerima Biasiswa Presiden pada 1973.