Baru-baru ini Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan pengenalan program Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (WBL) kepada anggota tentera dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
WBL diperkenalkan dengan sasaran untuk menjadi satu mekanisme transformatif membuka peluang supaya segala bakat, ilmu, kemahiran dan pengalaman anggota pertahanan dalam perkhidmatan ATM boleh dinilai secara berstruktur.
Kemuncak penilaian secara berstruktur ini adalah penganugerahan kelayakan akademik secara formal seperti pemberian diploma, ijazah sarjana muda dan sebagainya bersesuaian dengan ilmu, bakat, kemahiran dan tahap pengalaman anggota itu.
Misalnya, anggota yang rutin pekerjaannya adalah dalam masakan dan penyediaan makanan layak dinilai serta diberikan Diploma Seni Kulinari. Pramusaji, petugas pengurusan ‘mess’ atau kediaman transit layak diberikan Diploma Pengurusan Hotel.
Selain itu, terdapat beberapa lagi diploma lain boleh dipadankan dengan bentuk dan jenis pekerjaan anggota tentera seperti Diplomas Pendidikan Islam kepada Guru Agama Pasukan, Diploma Sains Sukan & Rekreasi kepada jurulatih fizikal, Diploma Sains Geomatik kepada anggota menjalankan kerja juru ukur serta Diploma Elektrik dan Elektronik kepada anggota menjalankan tugas elektrik.
Setakat ini terdapat kira-kira 10 jenis pekerjaan, kemahiran serta ilmu anggota ATM layak dinilai untuk diiktiraf di peringkat diploma. Antara institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan bersetuju terbabit dalam kerjasama bersama Kementerian Pertahanan dan ATM adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Pengenalan dasar atau ekosistem memberi kelayakan akademik seperti WBL ini adalah satu perkembangan positif dan menarik. Ia pastinya mendatangkan banyak faedah dan lonjakan kepada anggota pertahanan.
Pertama sekali, WBL akan menjadi contoh baharu kepada cara kita mengiktiraf keupayaan serta kebolehan anggota ATM. Dalam erti kata lain, kita mempamerkan keyakinan sepanjang tempoh perkhidmatan dilalui, terdapat banyak ilmu, kemahiran dan bakat dicungkil, digilap dan disumbangkan kepada negara.
Kedua, WBL adalah satu intervensi dan perubahan besar menarik kerana akan memberikan impak jangka panjang sangat bermanfaat kepada anggota tentera terutama selepas bersara.
Banyak anggota ATM, khususnya daripada kumpulan Lain-Lain Pangkat (LLP) menyertai perkhidmatan tentera pada usia muda dengan hanya kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka rata-ratanya menamatkan perkhidmatan pada usia sekitar 40 tahun ke atas atau lebih muda.
Usia ini secara relatifnya masih muda, sangat berupaya menyumbang kepada tahap guna tenaga negara dan memerlukan pekerjaan untuk meneruskan kehidupan sebagai pesara.
Berdasarkan trend semasa, anggota tentera yang menyertai perkhidmatan ATM dengan kelayakan SPM akan selalunya keluar dan bersara dengan kelayakan SPM juga.
Ketiadaan sebarang peningkatan atau pertambahan kelayakan akademik ini menyukarkan mereka untuk bersaing dan mendapat peluang pekerjaan lebih baik selepas bersara walaupun mereka sudah berkhidmat, mempunyai pengalaman bekerja lebih dua dekad.
Atas sebab itulah, tidak pelik jika realitinya ramai veteran tentera dilihat terpaksa melakukan pekerjaan seperti menjadi pengawal keselamatan kerana kebanyakan syarikat dan majikan akan menilai kelayakan mereka berdasarkan keputusan SPM saja.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara kita. Menurut Jabatan Hal Ehwal Veteran Amerika Syarikat (AS), kadar pengangguran kalangan veteran baru menamatkan perkhidmatan adalah lebih tinggi berbanding populasi umum. Misalnya, pada 2021, kadarnya setinggi 5.7 peratus berbanding 4.7 peratus untuk bukan veteran.
Bagi menangani masalah ini, AS melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi mengurangkan kadar pengangguran veteran tentera antaranya ‘Veteran Employment Through Technology Education Courses’ menyediakan latihan kemahiran teknologi percuma kepada veteran layak.
Program ini bertujuan melengkapkan veteran dengan kemahiran relevan dalam ekonomi moden, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan mereka. Selain itu, semua anggota tentera akan bersara diwajibkan mengikuti Program Bantuan Peralihan (TAP).
Program ini memberi panduan penyesuaian diri dengan kehidupan sebagai orang awam, latihan dan sokongan pendidikan untuk membantu mereka mencari pekerjaan selepas tamat perkhidmatan ketenteraan.
Undang-undang seperti ‘Hire Heroes Act 2011’ digubal untuk memberikan insentif cukai kepada majikan mengambil veteran tentera sebagai pekerja, terutama mereka berhadapan dengan cabaran fizikal atau mental.
Di Kanada, negara itu menguruskan risiko pengangguran kalangan bakal pesara tentera dengan menawarkan program ‘Education and Training Benefit’ melayakkan veteran menerima sehingga 80,000 dolar bagi tujuan pendidikan dan latihan.
Pendekatan dilaksanakan di negara terbabit menunjukkan sokongan terhadap anggota tentera mesti turut dihalakan kepada usaha memberi kelayakan sewajarnya supaya mereka berupaya menempuh alam persaraan dengan lebih baik apatah lagi semua program WBL disertai tentera ditanggung sepenuhnya Kementerian Pertahanan.
Memandangkan tiada bebanan kos kepada anggota terbabit, ketetapan ini secara tidak langsung akan menjadi satu tarikan baharu kuat kepada anak muda untuk menyertai pasukan pertahanan.
Ini kerana, mereka dapat melihat sendiri, dengan adanya pendekatan seperti WBL, kerajaan serius dalam memastikan anggota ATM mempunyai ruang dan peluang untuk meningkatkan kelayakan serta pencapaian diri. Sesungguhnya, usaha memperkasakan kesejahteraan anggota dan veteran tentera adalah tanggungjawab moral sesebuah kerajaan.
Dasar menyokong proses penganugerahan akademik melalui pendekatan WBL ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan besar anggota tentera, malah berupaya menjadi intervensi meningkatkan kualiti serta pencapaian peribadi anggota ATM dan bakal pesara tentera.
Penulis ialah Pensyarah, Jabatan Undang-undang, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa