MELAKA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan seorang wanita yang disyaki menggunakan kad pengenalan orang lain selepas gagal mengemukakan MyKad asal walaupun membawa salinan.
Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman berkata wanita berusia 40-an itu ditahan jam 1.50 pagi hasil serbuan dan pemeriksaan satu daripada 35 rumah di Kampung Batu 12, Sungai Udang, di sini.
Pegawai JPN menemui salinan MyKad dalam milikan wanita mendakwa berasal dari Sabah dan pada mulanya dia menyatakan MyKad asal berada di Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan didapati salinan MyKad itu milik individu lain,” katanya selepas Operasi ID Khas, sempena Hari Pendaftaran Negara ke-76 Tahun awal pagi tadi.
Susulan itu suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) iaitu menggunakan kad pengenalan orang lain.