Malaysia bakal kongsi pengalaman tenaga boleh diperbaharui, keselamatan makanan pada AIPA

KUALA LUMPUR: Malaysia akan berkongsi mengenai tenaga boleh diperbaharui, keselamatan makanan dan kecerdasan buatan pada Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) yang akan berlangsung di Laos dari 18 hingga 24 Oktober ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata perkara itu adalah fokus utama yang akan dikongsi bersama negara ASEAN lain termasuk pengalaman negara dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan.

“Kita akan kemukakan perkongsian ilmu dan pengetahuan tentang tenaga boleh diperbaharui. Di Parlimen, kita telah memulakan teknologi solar dan kita telah umumkannya sebahagian dasar. Menjelang 2050, kita akan menghindarkan penggunaan tenaga tradisional iaitu fosil, yang bermaksud kita perlu bergantung lebih kepada tenaga boleh diperbaharui lain, seperti hidro atau solar.

“Kita juga akan membincangkan keselamatan makanan (food security) dan isu ini boleh diketengahkan untuk dibincangkan dalam AIPA, kerana kita mempunyai peluang, pengetahuan yang banyak, serta tanah dan tenaga manusia. ASEAN sahaja mempunyai 685 juta penduduk, dan dengan keluasan tanah yang ada, kita boleh berkongsi bersama dari sudut pengetahuan dan ilmu,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini

Johari berkata Malaysia juga akan membawa cadangan supaya ASEAN bergerak secara bersama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi di rantau itu terus berkembang pesat dan menarik pelabur global sekali gus memberi limpahan manfaat kepada rakyat di negara terbabit.

Beliau juga akan memberi saranan mengenai kepentingan kerjasama rapat antara Parlimen dan eksekutif yang dapat berfungsi sebagai badan semak dan imbang kepada kerajaan sekali gus menjaga kepentingan rakyat.

“Jika kita melihat keadaan semasa, masing-masing bekerja secara terasing. Pada masa ini, kita menikmati status sebagai ekonomi keempat terbesar di dunia, tetapi jika kita menggabungkan kekuatan sebagai entiti ASEAN, kita dapat bersatu dan mencapai lebih daripada itu.

“Apabila ekonomi berada dalam keadaan baik, semua orang menjangkakan bahawa pendulum sedang beralih ke Asia, dan ASEAN yang kukuh pastinya akan menjadi medan untuk pelaburan dan peluang pelaburan jangka panjang.

“Kita ingin memberi kesan kepada pelabur global untuk datang ke negara-negara ASEAN yang bukan sahaja mempunyai pertumbuhan yang mantap, tetapi juga merupakan zon keamanan dan kebebasan serta neutralitas,” katanya.

Dalam pada itu Johari berkata beliau akan bertolak ke Vientiane, Laos pada Jumaat ini bagi mengambil alih jawatan Presiden AIPA. – BERNAMA