KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya tumbang 0-4 di tangan pasukan di ranking ke-95 dunia, New Zealand pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium North Harbour, sebentar tadi.
Kekalahan ini menyaksikan skuad bimbingan Pau Marti Vicente pulang ‘tangan kosong’ selepas gagal meraih sebarang mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada jendela Oktober.
Lebih malang, mereka yang bolos kesemua empat gol pada babak kedua berpotensi hilang 3.78 mata susulan keputusan ini sekali gus meleburkan hasrat mereka untuk memperbaiki kedudukan ke-132 ketika ini.
Babak pertama menyaksikan New Zealand bagaikan bermain ‘separuh padang’ dengan penguasaan penuh, mujurlah benteng skuad negara berjaya menghadapi ‘ombak’ serangan tuan rumah untuk mereka ‘bernafas’ sehingga tamat babak pertama.
Malaysia nyaris dibolosi seawal minit ketiga namun percubaan Ben Waine ditutup pertahanan negara sebelum pertahanan negara sekali lagi menghalang percubaan Elijah Just pada minit ke-11.
Ben Old terlepas peluang membuka jaringan pada minit ke-14 dan penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi berjaya menggagalkan percubaan Liberato Cacace menggunakan kakinya pada minit ke-19.
Gawang Malaysia terus diselamatkan dengan aksi cemerlang pertahanan Malaysia yang menafikan percubaan Matthew Garbett pada minit ke-21 sebelum Syihan mengecewakan Old buat kali kedua pada minit ke-28.
Tampanan Waine pada minit ke-35 tersasar dan Malaysia dapat memegang bola dalam lima minit terakhir perlawanan namun mereka gagal mengancam New Zealand untuk keputusan kekal 0-0 dalam 45 minit pertama.
Malaysia bermula baik pada babak kedua dan melakukan percubaan tepat pertama pada minit ke-50 menerusi tandukan Romel Morales namun ditangkap penjaga gol lawan, Alex Paulsen.
Permulaan baik itu direntap New Zealand yang memecah kebuntuan dua minit berselang apabila hantaran Cacace disudahkan Just yang tidak dikawal dalam kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Garbett menewaskan kekecewaannya pada minit ke-60 apabila menambah gol kedua dan mereka terus selesa dengan gol ketiga apabila Chris Wood pantas menyambar bola tepisan Ahmad Syihan yang cuba menyelamatkan hantaran lintang Just pada minit ke-71.
Pemain gantian, Logan Rogerson melengkapkan malam bergaya New Zealand selepas rembatannya dari luar kotak penalti menerjah gawang negara untuk gol keempat tuan rumah di hujung permainan.