PARIS: Kerajaan Perancis merancang untuk menggubal undang-undang imigresen baharu pada tahun depan, ketika pentadbiran sayap kanan negara itu berusaha untuk mengetatkan dasar imigresennya.
Perkembangan itu dimaklumkan jurucakap kerajaan, Maud Bregeon kepada penyiar televisyen BFMTV semalam.
“Keperluan untuk undang-undang baharu adalah jelas,” katanya.
Rancangan kerajaan untuk memperketatkan dasar imigresen dan kawalan sempadan adalah cerminan daripada pergeseran politik ke kanan di Perancis, selepas pilihan raya legislatif yang menyaksikan Parlimen tergantung.
Pergeseran politik ke kanan merujuk kepada perubahan dalam politik atau ideologi di mana terdapat peningkatan sokongan terhadap parti atau pemikiran politik yang lebih konservatif atau sayap kanan.
Pentadbiran kerajaan Perancis dipimpin Michel Barnier berharap rang undang-undang (RUU) berkenaan akan dikemukakan kepada Parlimen pada tahun depan.
Pada bulan lalu, seorang pelajar di Paris dirogol dan dibunuh lantas menimbulkan perdebatan meluas di Perancis mengenai migrasi, selepas warga Maghribi dinamakan sebagai suspek penyerang.
Kerajaan berhasrat untuk memanjangkan lagi tempoh tahanan bagi pendatang tanpa dokumen yang dianggap berbahaya bagi tujuan penguatkuasaan perintah pengusiran dengan lebih baik.
Salah satu pilihan yang dipertimbangkan adalah dengan meningkatkan had maksimum tempoh penahanan daripada 90 hingga 210 hari, yang kini tertakluk untuk kesalahan keganasan.
“Kami tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan peruntukan lain,” kata Bregeon sambil menambah tidak seharusnya ada tabu dalam usaha melindungi rakyat Perancis.
Pada Disember tahun lalu, Perancis meluluskan undang-undang imigresen. – AFP