KUALA LUMPUR: Seramai 8,252 orang papa termasuk pengemis dan peleser diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang lima tahun mulai 2020, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Menurutnya, ia membabitkan 2,108 orang papa pada 2020, diikuti 1,528 (2021), 1,208 (2022), 2,080 (2023) dan 1,256 (sehingga Jun lalu).
Katanya, jumlah orang papa yang diambil JKM itu dibuat berdasarkan tiga tindakan.
“Orang papa diambil itu juga terdiri daripada individu tiada pekerjaan dan tempat tinggal, pendapatan rendah, masalah kemiskinan dan kesihatan, dibuang keluarga, celaru mental, penagih dadah, bekas banduan serta lain-lain.
“Terdapat pelbagai kategori orang papa yang diambil. Mereka yang terdiri daripada warga asing, pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), pesakit mental, berjangkit atau kronik, penagih dadah, ketagihan alkohol, bahan inhalan serta mengutip derma tanpa kelulusan akan dirujuk ke agensi menguatkuasakan akta berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) mengenai usaha menangani isu gelandangan di negara ini pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Noraini berkata, selain Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183), terdapat beberapa akta lain yang berkuat kuasa untuk menangani isu gelandangan yang terbabit dengan perkara disenaraikan.
Antaranya, Akta Imigresen 1959/1963, Akta Kesihatan Mental 2001, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Kesalahan Kecil 1955, Akta Racun 1952.
Selain itu, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Akta Kutipan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan pelarian dan Pemohon Suaka.
“JKM hanya boleh bertindak ke atas mana-mana individu gelandangan yang menepati tafsiran ‘orang papa’ mengikut bidang kuasa termaktub di bawah Akta 183 bagi menjaga kebajikan dan memulihkan orang papa terbabit,” kata Ahli Parlimen Parit Sulong itu.
Noraini berkata, kajian semakan semula Akta 183 sudah selesai dilaksanakan pada Jun lalu dan kementeriannya sedang meneliti hasil dapatan yang akan diguna pakai sebagai asas kepada penstrukturan semula.
Selain itu, katanya, kementerian sedang memperincikan mekanisme lebih holistik bagi pengendalian isu gelandangan dan pengemisan agar kebajikan mereka dapat dilindungi dalam semua aspek.
“Secara dasarnya, ia meliputi cadangan mengenai kandungan, pendekatan serta skop rang undang-undang (RUU) ke arah inisiatif pengendalian isu gelandangan dan pengemisan secara menyeluruh, meliputi peranan agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Kajian ini juga mengenal pasti peruntukan sedia ada di bawah Akta 183 yang tidak relevan dan memerlukan pendekatan baharu yang lebih praktikal dan bersesuaian dalam menangani isu gelandangan dan pengemisan.
“Kementerian juga sedang membuat tindakan persediaan untuk gerak kerja ke arah pengubalan RUU berkaitan gelandangan dan pengemisan bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan lebih teratur,” katanya.