Air Pasang Besar: JPS Kedah kenal pasti 18 lokasi di 5 daerah berisiko banjir

ALOR SETAR: Sekurang-kurangnya 18 lokasi di lima daerah sekitar negeri ini berpotensi untuk berlaku banjir sekiranya terjadi pertembungan antara fenomena air pasang besar dengan angin kencang dan hujan lebat.

Berdasarkan jadual dikongsi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, tiga kejadian air pasang besar dengan ketinggian air sekurang-kurangnya 3.0 meter (m) diramal berlaku bermula awal pagi esok sehingga awal pagi Ahad.

Tiga kejadian itu membabitkan jam 1.01 pagi esok dengan ketinggian paras air 3.0m, diikuti jam 1.33 pagi lusa (3.1m) dan 2.05 pagi Ahad (3.0m).

Data dikongsi Bahagian Sumber Air dan Hidrologi JPS Kedah memaklumkan turut menyenaraikan 18 lokasi di lima daerah yang berisiko berlaku banjir dengan tujuh daripadanya di Kuala Muda membabitkan Kampung Paya, Kampung Huma, Kampung Sungai Yu, Kampung Bukit Kechik, Kampung Kepala Tanjung, Kampung Tukang Jusoh dan Kampung Sungai Meriam.

Turut disenarai Kampung Bakau, Kelibang di Langkawi, manakala di Kota Setar membabitkan Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota, Taman Sri Putra dan Taman Sri Pantai), Yan (Kampung Kuala Raga, Kampung Kuala Sala dan Kampung Kuala Sungai Yan Kecil) dan Kubang Pasu (Kampung Kuala Kerpan, muara Kampung Kuala Jerlun dan muara Kampung Kuala Sanglang).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang, berkata pihaknya bersiap siaga susulan jangkaan itu dengan pemantauan terus dilakukan anggotanya di kawasan sungai yang berisiko dinaiki air.

“Kita turut melakukan pemantauan dan tumpuan di semua lokasi terutamanya di 114 kawasan ‘hot spot’ banjir dalam 11 daerah yang sudah dikenal pasti di negeri ini.

“Hot spot terbanyak di negeri ini terletak di Baling yang mempunyai 46 kawasan diikuti 14 di Langkawi, 12 di Bandar Baharu dan 10 di Kuala Muda,” katanya.