KUALA LUMPUR : Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) berpandangan tiada keperluan untuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi menahan semula 58 individu dikaitkan dengan GlSB Holdings (GISBH).
Dalam satu kenyataan, kumpulan hak asasi itu mendakwa polis sepatutnya mempunyai cukup masa mengumpul maklumat bagi membolehkan pertuduhan dibuat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Kanun Keseksaan.
Kumpulan itu juga berpandangan mahkamah sudah memberi tambahan masa reman, dan penggunaan akta terbabit untuk menahan semula individu berkenaan dilihat sebagai memperlekehkan usaha pihak berkuasa.
“Polis sudah menyiasat pelbagai petunjuk awal dalam kes GISBH, termasuk penyeludupan manusia. Sekarang, lanjutan reman diberikan kepada 58 individu untuk memudahkan siasatan yang sedang dijalankan.
“Bukan itu saja, penggunaan SOSMA dalam kes terbabit berpotensi membentuk perkara yang berbahaya dan menindas golongan terbabit dengan mengorbankan standard perbicaraan tidak adil,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Pada 10 Oktober lalu, polis menahan semula 16 individu, termasuk kepimpinan GISBH bawah SOSMA pada hari sama dilepaskan susulan siasatan terhadap dakwaan eksploitasi agama dan kanak-kanak.
Sejak polis melancarkan operasi besar-besaran terhadap GISBH bulan lalu, seramai 58 orang ditahan di bawah SOSMA.
Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya Azura Md Yusof antara yang dikenakan tahanan reman di bawah SOSMA.
Kelmarin, beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pemangkang mempertikaikan tindakan polis menahan ahli kumpulan GISBH di bawah SOSMA ketika berbahas pada sesi penerangan menteri mengenai perkembangan dan tindakan berkaitan isu GISBH di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Harapan (PH), Hassan Abdul Karim menyatakan walaupun kumpulan GISBH mungkin bersalah kerana membawa fahaman yang menyeleweng daripada agama, namun mereka masih ada hak daripada sudut undang-undang negara.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan seumpama itu tidak cermat berikutan kumpulan itu bukan sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan elemen keganasan.
“Kami melihat ini satu keputusan (tindakan oleh PDRM) yang tidak cermat. Sebab itu kita nasihatkan supaya jangan berlebihan, jangan keterlaluan, jamin keadilan pihak yang tertuduh,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Mengulas lanjut, SUARAM mendakwa jumlah tahanan yang ramai menjadi antara faktor menyebabkan SOSMA diguna pakai bagi melengkapkan siasatan.
SUARAM mendakwa penggunaanSOSMA hanya akan mengalih perhatian daripada keperluan kritikal untuk pembangunan kapasiti.
“Ia termasuk meningkatkan daya tahan polis dalam menangani kaedah jenayah serta siasatan efektif sambil mengekalkan hak kepada perbicaraan yang adil,” dakwa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.