Kerajaan sedia lebih RM230 juta perhebat sukan negara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan lebih RM230 juta dalam Belanjawan 2025 bagi terus memperhebatkan pembangunan sukan di negara ini.

Peruntukan itu merangkumi program podium, latihan atlet dan Road to Gold, persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025, kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara, serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak, Anwar menjelaskan peruntukan RM15 juta disediakan kepada pasukan Harimau Malaya, skuad bawah 18 (B-18) tahun dan B-13 dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan jurulatih dan mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain.

“Kita merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang berjuang di pentas Olimpik dan Paralimpik Paris. Ini termasuk pencapaian Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya merangkul pingat emas.

“Kita berbangga dengan kejayaan pasukan badminton negara antaranya beregu wanita Pearly Tan dan M Thinaah serta beregu lelaki Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani yang mengharumkan nama negara di pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Saya melihat mereka mencerminkan semangat perpaduan serta kelebihan kita sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama yang boleh berjuang bersama dan menjulang kejayaan,” kata Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 sebentar tadi.

Anwar turut mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk memperkasa ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan selepas kejayaan Selangor Red Giants bergelar juara dunia baru-baru ini.

Sukan kriket turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025 apabila kerajaan memperuntukkan RM1 juta bagi pembangunan sukan itu.

“Berikutan sambutan hangat saat berkunjung ke India, Pakistan dan Bangladesh baru-baru ini, saya terpanggil untuk turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada pembangunan sukan kriket,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan yang diterima pemenang atlet individu dan berpasukan melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang diberikan oleh kerajaan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).