NGO ditipu pelajar, dakwa nak bayar yuran, rupanya terbabit judi dalam talian

JITRA: Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia (CSM) membuat laporan polis semalam selepas mendakwa ditipu seorang pelajar lelaki sebuah universiti di utara negeri ini kononnya dia memerlukan wang untuk membayar yuran pengajian.

Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, pelajar berusia 20-an memperkenalkan dirinya sebagai Lim dan menghubunginya pada Ahad lalu untuk membantunya mendapatkan dana bagi membiayai pengajiannya berjumlah RM5,000 dengan alasan keluarganya tidak berkemampuan.

Katanya, pelajar terbabit juga memberi alasan yang dia akan dibuang daripada universiti berkenaan jika dia tidak membayar yuran terbabit.

“Disebabkan kasihan dengannya, saya memuat naik status di laman sosial (FB) saya untuk meminta bantuan rakan-rakan supaya membantu pelajar ini kerana bimbang dia tidak dapat belajar dengan memberi nombor akaun bank milik pelajar ini.

“Pelajar itu kemudian memberitahu dia memperoleh sebanyak RM1,176 selepas beberapa jam kemudian dan saya cuba menghubungi pihak NGO dari Pulau Pinang untuk meminta mereka membantu, namun jawapan yang diterima agak mengejutkan.

“Wakil NGO terbabit memberitahu mereka pernah membantu pelajar ini sehingga mendapat kutipan mencecah lebih RM30,000 tetapi pelajar itu sebenarnya tidak membayar yuran namun sebaliknya terbabit dalam perjudian dalam talian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Zuraini, dia kemudian menghubungi semula pelajar terbabit namun dia menafikannya malah mengugut untuk melakukan sesuatu di luar batasan (bunuh diri).

Katanya, dia meminta pelajar itu memulangkan semula wang kutipan yang disalurkan melalui akaunnya itu untuk dipulangkan semula kepada penderma yang juga dalam kalangan ahli CSM.

“Pelajar itu dan bapanya turut menghubungi saya lebih daripada 30 kali supaya saya memadam status yang dimuat naik di FB saya selain meminta maaf.

“Saya juga sudah menghubungi pihak universiti berkenaan dan mereka mengesahkan pelajar itu masih belajar di situ dan turut mengetahui perbuatan pelajar itu yang suka mencari dana dengan menipu,” katanya.

Zuraini berkata, disebabkan bimbang pelajar itu terus menipu, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu supaya NGO lain tidak terpedaya dengan tipu helah pelajar terbabit.

Beliau berkata, sebelum ini pelajar itu menggunakan modus operandi yang sama untuk menagih simpati iaitu dengan memberitahu bapanya orang kurang upaya (OKU) manakala ibunya hanya bekerja di pasar Jalan Teluk Wanjah.

“Dia beritahu juga, adiknya baru masuk ke univesiti baru-baru ini dan disebabkan itulah ibu bapanya tidak mampu menbayar yuran pengajiannya.

“Saya dah bertanya kepada wakil NGO yang menjadi mangsa pelajar itu dan mereka memaklumkan, pelajar terbabit menggunakan alasan sama untuk menipu mangsanya yang kebanyakannya terdiri daripada NGO.

“Saya berharap, pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelajar ini supaya menjadi pengajaran buatnya pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, wakil NGO dari Pulau Pinang, Eng Hiap Boon berkata, setakat ini tujuh NGO di negeri itu menjadi mangsa penipuan pelajar terbabit sejak April tahun ini.

Beliau berkata, bagaimanapun kesemua NGO terbabit tidak membuat laporan polis hanya kerana bimbang pelajar itu mengugut untuk membunuh diri.

“Namun, apabila Zuraini menghubungi saya semalam, kami bersetuju apabila dia hendak membuat laporan polis dan menyerahkan kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Saya difahamkan, pelajar itu sudah dua tahun melakukan penipuan dengan alasan sama malah turut menipu beberapa orang kenamaan sebelum ini,” katanya.