Parlimen: Pengenalan cukai kepada T15 bukan alasan label `Belanjawan Robin Hood’

KUALA LUMPUR: Pengenalan cukai dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima pemegang saham individu dan subsidi bersasar petrol RON95 untuk golongan tertinggi T15, bukanlah alasan untuk menyifatkan Belanjawan 2025 sebagai ‘Belanjawan Robin Hood’.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata walaupun terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggambarkan belanjawan itu sebagai ‘merompak daripada yang kaya untuk diberikan kepada yang miskin’, ia sebenarnya usaha kerajaan menangani kesenjangan dan mengurangkan ketidaksaksamaan.

“Negara tidak boleh berjaya dan maju tanpa menggembleng seluruh tenaga dan sumbangan rakyat bukan sekadar golongan B40 dan M40 sahaja, tetapi juga merangkumi golongan T20.

“(Kerajaan) bukannya semata-mata kenakan cukai penalti ke atas yang kaya, sebaliknya meminta mereka yang bernasib baik ini membantu mereka yang daif, lemah dan miskin.

“Inilah aspirasi Kerajaan Perpaduan yang merangkumi semua rakyat tanpa kira kaum, agama dan latar belakang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 berkata kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan tahun depan, dengan kategori T15 tidak akan menikmati subsidi berkenaan.

Guan Eng berkata dalam kerangka menentukan had pendapatan bulanan isi rumah golongan T15 untuk subsidi berkenaan, ia harus mencerminkan upah hidup layak dan seharusnya ditetapkan secara inklusif dalam lingkungan RM15,000 sebulan.

Katanya, golongan T15 tidak boleh dilabel sebagai uber (paling atas) kaya, kerana mereka menyumbang kepada ekonomi menerusi tanggungjawab sosial korporat dan pembayaran cukai.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menggesa kerajaan segera mengumumkan takrifan sebenar golongan T15, bagi menghentikan kebimbangan sebahagian rakyat yang ingin tahu sama ada mereka tergolong dalam kumpulan itu.

Beliau berkata hal ini kerana berdasarkan tinjauan data pendapatan isi rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022, 15 peratus pendapatan tertinggi di Malaysia bermula dengan RM13,295 dan ke atas.

“Sekiranya benar ini pengiraannya, takrifan T15 sebagai maha kaya sangat tidak adil, khususnya golongan yang hanya pendapatan isi rumah RM13,000.

“Saya bukan nak mempertahankan golongan maha kaya ini tetapi bayangkan seorang tokoh korporat yang tergolong dalam kategori T15, manakala pasangan guru DG48 kalau dah mengajar 12 tahun sudah pasti akan dapat pendapatan lebih RM13,000, adakah ini adil?” katanya.

Justeru, Wee mencadangkan kerajaan mengenakan levi petrol terhadap T15 ketika mereka memperbaharui cukai jalan bagi kenderaan berharga RM300,000 ke atas, berbanding melaksanakan kaedah dua harga berlainan bagi subsidi RON95 yang boleh merumitkan stesen petrol dan 85 peratus pengguna yang lain.

Dalam pada itu, isu perang terhadap gula turut mendapat perhatian sesi perbahasan dengan beberapa Ahli Parlimen antaranya Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau), Wong Shu Qi (PH-Kluang) dan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju), menyatakan sokongan terhadap usaha itu menerusi langkah kerajaan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa sebanyak 40 sen seliter mulai 1 Jan tahun depan.

Puah mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk mengeluarkan gula daripada Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan pada masa hadapan, sekali gus ia akan membantu kerajaan menjimatkan RM500 juta setahun.

“Penjimatan ini boleh digunakan untuk perbelanjaan kesihatan negara… sudah tiba masa kerajaan memandang serius isu kesihatan ini dengan menukar gaya hidup rakyat supaya fasiliti kesihatan tidak overload dengan pesakit obesiti dan diabetes,” katanya.

Wong pula membangkitkan sama ada langkah itu turut meliputi penjualan minuman manis di lokasi selain pasar raya seperti gerai dan pasar malam yang menjadi pilihan pengguna mendapatkan minuman dengan kadar gula amat tinggi.

Persidangan bersambung esok.

– BERNAMA