Polis siasat kes lelaki bawa anjing masuk perkarangan Kompleks PKNS

SHAH ALAM: Dua kertas siasatan dibuka berhubung insiden provokasi membabitkan seorang lelaki membawa anjing miliknya memasuki perkarangan Kompleks PKNS, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, hasil siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, suspek mengikat anjing peliharaannya di luar bangunan kompleks berkenaan dan pergi ke sebuah kedai emas untuk membeli emas seberat satu kilogram.

“Berang akibat tidak di layan, suspek yang berusia 52 tahun memarahi pekerja kedai emas dengan mengeluarkan kata-kata kesat sehingga berlaku kekecohan

“Orang awam berada di kedai emas itu kemudian bertindak membantu mententeramkan suspek dan berlaku pergelutan.

Pengawal keselamatan kompleks kemudian meleraikan keadaan dan membawa suspek keluar dari bangunan.

“Namun suspek membuat provokasi dan cuba untuk membawa masuk anjing peliharaanya ke dalam bangunan tetapi berjaya di halang oleh pengawal keselamatan bertugas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal berkata pihaknya menerima tiga laporan pada Khamis lalu yang dibuat oleh suspek dan saksi-saksi di tempat kejadian.

Katanya, laporan yang dibuat suspek di siasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Laporan daripada saksi kejadian mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha ditalian 014-5130450 dan Penolong Penyiasat, Sarjan RustamEliah ditalian 019-6148034,” katanya.

Terdahulu, insiden tersebut tular menerusi video berdurasi 25 saat di aplikasi TikTok.