KUALA LUMPUR: Hanya dua daripada 14 projek mitigasi banjir disiapkan tahun ini dalam usaha jangka panjang menghadapi insiden banjir kilat di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata daripada jumlah itu, empat projek masih dalam peringkat pelaksanaan dan lapan di peringkat analisa tender.
Katanya, bagi 2022 dan 2023, sebanyak tujuh projek mitigasi banjir berjaya disiapkan.
“Seterusnya bagi tempoh 2025 hingga 2027, sebanyak empat lagi projek sudah dirancang,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH- Batu Pahat) yang mahu menteri menyatakan tahap kesediaan Kuala Lumpur, bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, memandangkan isu banjir kilat masih belum diselesaikan dan boleh menjejaskan imej serta persiapan negara untuk acara berkenaan.
Katanya, dalam usaha jangka sederhana bagi menghadapi bencana banjir kilat di Kuala Lumpur, DBKL menyelenggara 15 kolam takungan banjir terbuka dan sembilan kolam tertutup bawah tanah.
“Semua kolam takungan banjir sudah dilakukan pengorekan kelodak mengikut keperluan semasa dan jadual berkala.
“Longkang tepi jalan turut dinaik taraf bukaan sesalurnya bagi mengurangkan implikasi banjir kilat,” katanya.
Mengulas kesiapsiagaan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama negara menjelang Kepengerusian ASEAN 2025, Dr Zaliha berkata, persiapan berdepan banjir khususnya banjir kilat diberi keutamaan sepanjang masa.
Katanya, bagi usaha jangka pendek, DBKL sudah menyelaras tindakan pembersihan sistem saliran seperti longkang dan juga ‘outlet’ di kawasan terjejas banjir.
“Ini adalah bagi memastikan kapasiti sistem saliran berada dalam keadaan yang paling optimum.
“Selain itu, DBKL juga meneruskan kerja penyelenggaraan sistem saliran seperti kolam takungan banjir terbuka, kolam takungan bawah tanah, penyelenggaraan sungai, parit induk dan longkang di tepi jalan dari masa ke semasa dan berkala terutama apabila ketibaan musim monsun timur laut atau musim tengkujuh,” katanya.