JOHOR BAHRU: Selepas tumpas dalam empat perlawanan terdahulu, skuad remaja negara mengesahkan akan beraksi pada penentuan tempat kelima dan keenam dalam Kejohanan Hoki Bawah 21 (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-12 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya.
Young Tigers akan berdepan Australia, malam esok dalam aksi terakhir secara liga sebagai pelengkap jadual sebelum menentang Jepun pada Sabtu untuk penentuan kedudukan itu.
Ketua jurulatih Young Tigers, I Vikneswaran tampak tidak berpuas hati dengan kualiti permainan yang ditonjolkan barisan pemain selepas tumpas 2-1 kepada Britain
Menurut Vikneswaran, pemain-pemain kerap mengulangi kesilapan dan paling ketara asas hoki masih belum memuaskan.
“Pada padangan saya kita bermula dengan agak mengecewakan selepas kerap membuat kesilapan kemahiran asas dalam permainan hoki terutama di awal perlawanan dan ia bukanlah aksi terbaik ketika berdepan Britain.
“Mereka beri pukulan sudut penalti yang tidak sepatutnya kepada Britain dan dari situ mereka dihadiahkan penalti untuk mendahului kita. Namun ada perkembangan positif apabila kita bangkit untuk menyamakan jaringan.
“Selepas itu, Britain mula bermain secara fizikal dan kita tidak dapat lihat apa yang mereka lakukan malah pengadil juga tidak kesan kesalahan pemain lawan dan sebab itu situasi 50-50 pemain kita tewas dan gagal menyaingi mereka,” kata Vikneswaran.
Untuk aksi terakhir menentang Australia, bekas pemain kebangsaan itu akur dengan kehebatan jaguh dari zon Ocenia itu selepas mereka mengejutkan India 4-0 dan pastinya momentum permainan pasukan di tahap yang terbaik.
“Aksi menentang Australia beri peluang kepada kita membuat persiapan ke Piala Remaja Asia nanti kerana semua pasukan yang bertanding di SOJC bertaraf dunia dan ia satu proses pendedahan terbaik,” katanya.