IPOH: Seramai 17 peserta warga China yang terlibat dalam sambutan Guan Gong Sedunia, Stesen Malaysia dan mengibarkan bendera asing ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan kelmarin telah diambil keterangan.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) petang semalam dan semua mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita telah dipanggil untuk merakamkan keterangan bagi membantu siasatan.
“Ada arahan untuk menyiasat, jadi kita akan tunggu kertas siasatan dihantar kepada TPR untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media malam tadi.
Sebelum ini, Azizi mengesahkan bahawa perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mengibarkan bendera negara asing dan turut tular di media sosial telah melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti kewujudan bendera negara lain yang turut dikibarkan dalam perarakan berkenaan.
Katanya menurut video yang tular terdapat juga bendera negara Thailand dan Vietnam.
Perarakan itu yang berunsurkan keagamaan dan membabitkan kereta berhias berlangsung dari jam 8 malam hingga 11.30 malam kelmarin dan disertai kira-kira 400 penonton.
Terdahulu, Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia semalam memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh salah satu rombongan pada malam perarakan Guan Gong Sedunia.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia Soon Boon Hua berkata tindakan mengibarkan bendera negara asing tersebut tidak dirancang dalam tentatif acara oleh pihak pengelola. – BERNAMA