KUANTAN: Seorang peniaga di Jerantut rugi RM446,800 diperdaya individu menyamar pegawai polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Lelaki berusia 42 tahun itu membuat laporan polis semalam, mendakwa dia pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu menyamar pegawai SKMM.
Mangsa dimaklumkan terdapat aduan nombor telefonnya digunakan untuk aktiviti penipuan pada 5 Ogos lalu sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lagi individu didakwa pegawai polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sri Yahaya Othman, berkata suspek kedua memaklumkan ada waran tangkap terhadap mangsa kerana terbabit dengan pengubahan wang haram.
“Mangsa berasa takut apabila menerima waran tangkap yang dihantar oleh suspek melalui aplikasi WhatsApp.
“Berikutan itu, dalam tempoh 22 hingga hingga 24 Oktober lalu, dia membuat pemindahan wang RM446,800 melalui 51 transaksi ke 11 akaun bank, kononnya bagi tujuan siasatan oleh suspek.
“Mangsa berasa ditipu apabila suspek tidak memulangkan wang seperti dijanjikan selepas selesai siasatan semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa menggunakan wang simpanannya dalam kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.