ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain tetap menganggap satu mata yang diraih skuadnya selepas seri 1-1 ketika menentang PDRM FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi sebagai satu mata yang berharga.
Malah beliau tetap berbangga di atas komitmen yang ditunjukkan pemainnya di sebalik permasalahan yang dihadapi pasukan apabila berdepan PDRM FC yang disifatkannya sebagai satu pasukan yang lebih lengkap dari segi kekuatan dan fizikal.
“Walaupun kerugian dan sedikit kecewa kerana membawa pulang hanya satu mata, namun saya tetap bersyukur kerana bagi saya satu mata ini juga amat berharga dan lebih baik daripada tiada mata.
“Saya mengakui kondisi kami bukan berada pada tahap yang terbaik, dan apapun pemain sudah mencuba dengan usaha yang terbaik walaupun pemain sedikit lemah dari segi mental dan fizikal.
“Dari segi keseluruhan permainan, pemain beraksi dengan baik kerana PDRM FC satu pasukan yang mempunyai kekuatan dan fizikal yang lebih baik berbanding kami, tetapi dengan semangat yang pemain kami tunjukkan itu adalah satu yang patut dibanggakan,” katanya.
Nafuzi juga berkata, beliau cuma sedikit kecewa apabila skuadnya yang sudah mendahului kemudian terpaksa akur apabila lawan bangkit menyamakan kedudukan, sekali gus mengulangi situasi seperti tiga perlawanan terdahulu ketika menentang Kuching City, Negeri Sembilan FC dan Sri Pahang FC.
Pada perlawanan itu, pemain pertahanan Jose Cleylton meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-28 namun Aremu Timothy memastikan pelawat tidak pulang tangan kosong apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-56.