Angkara perlekeh anggota JPJ, seorang lelaki didenda RM100

IPOH: Seorang lelaki mengaku bersalah atas tuduhan memperlekeh seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di Kampung Simee, dekat sini, minggu lalu.

Majistret Siti Nora Sharif menjatuhkan hukuman denda RM100 ke atas Samsudin Yoep, 58, selepas pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Αkta Kesalahan Kecil 1955.

Seksyen itu memperuntukan hukuman denda maksimum RM100.

Siti Nora turut memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari, sekiranya gagal membayar denda ditetapkan. Tertuduh membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa mengatakan kepada anggota JPJ, Zuriada Basri, 52, “JPJ kena bayar dulu, baru kerja jalan” dengan tujuan menganggu keamanan.

Dia dituduh mengeluarkan kata-kata itu di Kaunter Perdagangan JPJ di Kampung Simee, dekat sini, pada jam 9 pagi, 22 Oktober lalu.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu menyebut “JPJ kena bayar dulu, baru kerja jalan” secara berulang-ulang di hadapan Zuriada sebelum membuat laporan polis.

Tertuduh ditahan pada jam 1.40 pagi, sehari selepas itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum atas alasan anak guamnya perlu menyara isteri dan tiga anak.