KUALA LUMPUR: Kekalahan 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi meletakkan Selangor dalam situasi yang semakin sukar untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.
Gergasi Merah yang sudah beraksi lebih satu perlawanan dan berada di kedudukan kedua liga kekal dengan 26 mata, lapan mata ketinggalan di belakang pendahulu, Harimau Selatan.
Meskipun tidak menjawab dengan jelas soalan yang diajukan wartawan, namun ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil seakan mengakui pasukannya berdepan misi sukar untuk mengejar JDT.
“Anda rasa?,” kata Nidzam ketika ditanya adakah masih ada peluang untuk Selangor mengejar JDT dan beliau hanya tersenyum apabila wartawan menyatakan perkara itu sukar.
Jaringan daripada Romel Morales dan dua gol Bergson Da Silva bukan sahaja memberikan tiga mata penting buat JDT, malah ia turut meleburkan rekod kemenangan bersih Selangor di halaman sendiri musim ini.
Selain itu, Nidzam menjelaskan bahawa Selangor akan cuba untuk menunjukkan peningkatan bagi mengecilkan jurang perbezaan mata dengan pendahulu liga.
Pengendali berusia 44 tahun itu menegaskan bahawa pasukannya perlu bangkit dan meningkatkan beberapa perkara untuk perlawanan seterusnya.
“Keputusan tidak bagus, (tewas) 0-3 di tempat sendiri dan ada beberapa perkara yang kami kena tingkatkan. Sudah pasti setiap tahun kami nak ada peningkatan, walaupun peningkatan 10 peratus pun adalah bagus.
“Mungkin anda tengok sebelum ini kami 15 mata, 20 mata di belakang pendahulu. Jika (musim ini) berakhir dengan (jurang) 10 (mata), lima, enam, kita tak tahu. Kami cuba kecilkan jurang itu setiap tahun.
“Kami tak gembira dengan kekalahan, kalau kalah gembira ia sesuatu yang tidak kena. Kami cuba nak menang, tapi sekali lagi ia tak menjadi hari ini, kami perlu bangkit kembali dengan lebih baik.
“Komitmen (pemain) saya tiada isu, tapi sudah pasti sebagai atlet kami tak nak kalah. Sebagai jurulatih dan pemain pun banyak kerja rumah kami kena buat,” katanya.
Selangor dianggap sebagai pencabar terdekat JDT untuk mencabar kejuaraan dengan Sabah yang berada di kedudukan ketiga jauh ketinggalan 14 mata.