IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan setakat ini kerajaan masih belum memutuskan tangga pendapatan bagi kategori T15 supaya penyasaran subsidi dapat diberikan secara adil.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, apa yang menjadi keutamaan adalah kerajaan mewakili 85 peratus rakyat yang tidak terkesan dengan penyasaran subsidi petrol.
Sekarang ini, belum diputuskan lagi gaji T15 adalah RM12,000 atau mungkin perlu naik RM15,000 atau RM18,000 atau dikenakan pada T10.
“Kita (kerajaan) selamatkan 85 peratus, mereka (rakyat) tidak terkesan. Ada yang bising golongan T15 gaji mereka RM12,000 dan adakah mereka mampu bayar.
“Kalau pendapatan dia rendah kita (kerajaan) bawa dan kita bagi pertimbangan kerana tidak mahu bebankan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Negeri Perak di Hotel Kinta Riverfront, di sini pada Ahad.
Hadir sama Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Pembentangan Belanjawan 2025, Anwar menyatakan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15 dan perkara itu menimbulkan reaksi oleh ramai pihak mengenai pengkelasan golongan T15 berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan masih memperhalusi engkelasan kategori T15.
Katanya, kerajaan kini sedang beralih kepada satu konsep baharu perbelanjaan bersih sesebuah isi rumah agar mereka menjalani kehidupan yang wajar. – MalaysiaGazette