Duta Enclave; Kerajaan sedia bayar pampasan, tetap pertahan kepentingan negara

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia membayar pampasan yang setimpal kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (SESB) berikutan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan pemindahan hak milik tanah di Mukim Batu atau juga dikenali sebagai Duta Enclave itu kepada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan perlu berhati-hati dan konsisten dalam membuat keputusan berhubung kes itu supaya tidak dilihat terasing daripada kepentingan negara.

Disebabkan itu, kata beliau, kerajaan akan terus berunding dengan pemilik tanah tersebut yang mana dua mesyuarat telah diadakan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi mencari penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.

“Tetapi sekarang keputusan mahkamah belum muktamad, kita masih merayu keputusan mahkamah untuk pindah milik. Jadi saya serah kepada Jabatan Peguam Negara.

“Langkah rundingan diteruskan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah mengadakan dua mesyuarat, untuk memberi laluan tanah yang belum dibangunkan diserahkan (kepada SESB), dengan syarat ada kerjasama dengan mana- mana syarikat kerajaan, jadi keuntungannya juga besar.

“Saya sebut di dalam Dewan, kita kena ingat keputusan kita (kalau) mengalah dalam kes ini dengan mudah, bermakna kita membuka ruang, (bagaimana) hak rakyat, terutamanya kampung-kampung Melayu di bandar, kenapa tak kaitkan?

“Kalau serah dengan mudah, seperti diputuskan Jemaah Menteri (pada pentadbiran) lalu, saya tak fikir ia akan selesaikan masalah … kita harus tegas. Sekarang ini satu inci tanah pun tak diambil untuk projek komersial atau pembangunan swasta. Semuanya untuk pembinaan seperti masjid, institusi dan kompleks kerajaan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mahu mengetahui tindakan susulan oleh kerajaan selepas Mahkamah Tinggi pada 23 Oktober lepas, mengarahkan kerajaan memulangkan semula tanah berhampiran Jalan Duta tersebut kepada SESB.

Dalam pada itu, Anwar menambah, kerajaan juga sudah memutuskan untuk mengkaji pindaan terhadap Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) berhubung pengambilan tanah bagi projek kerajaan susulan keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya kerajaan dan Jabatan Peguam Negara diberi ruang untuk meneliti aspek perundangan tersebut supaya kepentingan awam dapat diutamakan pada masa akan datang.

“Kalau kompromi hari ini, (sebahagian besar) tanah di bandar akan terjejas. (Melainkan) Kalau kita sanggup bayar RM50 hingga RM60 bilion. Sebab itu kita bagi pihak Jemaah Menteri kita tak setuju.

“Kita terus berunding dan jelas kepada SESB, mereka akan dapat pampasan lebih daripada RM1.4 juta, tapi tak boleh anggap perkara ini mudah.

“Ini bukan sahaja isu teknikaliti, tapi soal prinsip pembangunan negara dan kepentingan awam,” katanya.

Pada 8 Ogos lalu, kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemindahan tanah kepada SESB selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Pada 2003, SESB memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Tanah yang terletak di kawasan utama Jalan Duta ini menempatkan, antara lain, Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Negara, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Masjid Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette

Source :