Harga pasaran cecah lima kali ganda punca Malaysia jadi hab transit dadah

SUBANG JAYA: Harga pasaran dadah diseludup keluar dari negara ini yang meningkat sehingga lima kali ganda dipercayai menjadi antara punca Malaysia dijadikan negara hab transit oleh sindiket dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narktotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata kegiatan penyeludupan masuk dadah ke Malaysia bukan saja untuk memenuhi keperluan permintaan dadah di negara ini, malah kedudukan geografinya berdekatan kawasan Segi Tiga Emas menjadikan ia lokasi strategik untuk sindiket dadah melakukan kegiatan penyeludupan ke negara luar.

“Sindiket dadah bukan saja mahu memenuhi permintaan dadah di negara ini, malah menjadikan Malaysia hab transit dadah ke negara ketiga dan keempat.

“Harga pasaran yang tinggi mencecah empat hingga lima kali ganda juga menyebabkan sindiket mengambil kesempatan untuk menyeludup dadah masuk ke negara ini sebelum menyeludupnya semula keluar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini.

Berikutan situasi itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguat kuasa lain sentiasa berusaha mempertingkatkan kawalan di sempadan negara termasuk mengenal pasti jalan tikus digunakan suspek membawa dadah ke negara ini.

“PDRM termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam kawalan sempadan sebagai tindakan proaktif menangani isu penyeludupan dadah.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa lokasi panas yang kerap digunakan untuk penyeludupan dan laluan tikus, namun sindiket juga kerap menukar laluan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Saya tidak dapat memberikan angka yang tepat mengenai jumlah laluan tikus kerana ia sering berubah-ubah. Sindiket tahu untuk mengambil kesempatan di lokasi tertentu yang kurang dikawal kerana sempadan negara kita juga terlalu luas,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, PDRM tidak akan leka dan sentiasa mencari kaedah serta cara mengekang kegiatan penyeludupan dadah daripada terus berleluasa.