Khazanah Dan PNB Rugi Hampir RM43.9 Juta Daripada Penjualan FashionValet

Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengalami kerugian sebanyak RM43.9 juta daripada penjualan pelaburan minoriti mereka dalam peruncit fesyen atas talian, FashionValet Sdn. Bhd.

Memetik dari NST, perkara ini telah didedahkan oleh Kementerian Kewangan kepada pertanyaan yang disiarkan di laman web parlimen.

Pada tahun 2018, Khazanah telah melabur sebanyak RM27 juta dan PNB sebanyak RM20 juta untuk kepentingan minoriti di dalam FashionValet.

MOF berkata pandemik COVID-19 telah memberi impak yang besar terhadap perniagaan FashionValet, menyebabkan keperluan yang ketara untuk modal baharu bagi meneruskan operasi.

Pada akhir tahun 2023, syarikat Bumiputera, NXBT Partners, telah menawarkan untuk membeli pegangan saham Khazanah dan PNB dalam FashionValet serta menyuntik modal yang diperlukan ke dalam syarikat, kesemua pemegang saham bersetuju menerima tawaran tersebut.

MOF juga berkata penjualan itu mewakili langkah keluar yang bertanggungjawab untuk Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik yang boleh membantu FashionValet dalam memenuhi keperluan pembiayaannya secara holistik dan memulihkan perniagaannya dalam persekitaran industri yang mencabar.

Khazanah dan PNB telah menerima sebanyak RM3.1 juta daripada penjualan saham tersebut. Kerugian daripada penjualan saham FashionValet itu adalah minimun berbanding hasil keseluruhan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan.

Pada September 2024, Khazanah berkata pelaburan sebanyak RM27 juta kepada FashionValet itu menunjukkan komitmennya untuk menyokong pengasas tempatan.

Manakala pelaburan PNB itu adalah untuk menyokong syarikat runcit digital Bumiputera yang berkembang pesat untuk menjadi platform runcit serantau bagi jenama Malaysia.

Source :