PARIS: Pihak berkuasa Iran menahan seorang pelajar wanita pada Sabtu selepas dia mengadakan protes secara solo menentang gangguan seksual dikenakan terhadapya dengan menanggalkan pakaiannya sehingga hanya tinggal pakaian dalam di luar sebuah universiti, kata laporan.
Wanita itu yang belum dikenal pasti, didakwa menerima gangguan di universiti berkenaan oleh anggota pasukan separa tentera Basij, yang mengoyakkan tudung dan pakaiannya, menurut laporan beberapa saluran media dan media sosial di luar Iran.
Dia kemudian menanggalkan pakaiannya sebagai tanda protes dan duduk di luar universiti dengan hanya tinggal pakaian dalam, sebelum berjalan dengan penuh berani di jalan, mengejutkan orang yang lalu-lalang seperti ditunjukkan dalam video yang dimuat naik di media sosial.
Di bawah kod pakaian wajib di Iran, wanita mesti memakai tudung dan pakaian longgar di tempat awam.
Rakaman itu, yang pertama kali dimuat naik oleh saluran media sosial pelajar Iran buletin Amir Kabir, diterbitkan oleh beberapa saluran berbahasa Parsi, termasuk kumpulan hak asasi Hengaw dan laman berita Iran Wire, serta Amnesty International.
Rakaman itu dirakam oleh orang yang menyaksikannya dari bangunan bersebelahan.
Video lain menunjukkan wanita itu dimasukkan secara paksa ke dalam sebuah kereta oleh lelaki berpakaian biasa dan dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan.
Buletin Amir Kabir mendakwa pelajar wanita itu dipukul semasa penahanan. – AFP