Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan membincangkan mengenai langkah kerajaan dalam menangani isu berkaitan liputan Internet dan usaha mempromosikan sukan permotoran dalam kalangan belia. – Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan membincangkan mengenai langkah kerajaan dalam menangani isu berkaitan liputan Internet dan usaha mempromosikan sukan permotoran dalam kalangan belia.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web Parlimen, Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) akan mengajukan soalan kepada Menteri Komunikasi mengenai lokasi yang memerlukan peningkatan sambungan Internet dan usaha kementerian memperbaikinya melalui teknologi terkini seperti satelit atau menara bagi menangani masalah sambungan yang lemah.
Pada sesi sama, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan inisiatif untuk mempromosikan sukan permotoran dalam kalangan anak muda, termasuk peruntukan dana bagi pembinaan litar permotoran di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.
Selain itu, Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) turut mengemukakan soalan kepada Menteri Kerja Raya mengenai rancangan kementerian untuk mengatasi masalah kesesakan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK), termasuk sama ada terdapat perancangan untuk membina laluan alternatif ke Pantai Timur dari Kuala Lumpur.
Usai sesi soal jawab, persidangan akan diteruskan dengan perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 yang memasuki hari ketujuh hari ini.
Minggu ini merupakan minggu terakhir bagi sesi perbahasan peringkat dasar, yang akan diikuti oleh sesi penggulungan oleh menteri dari setiap kementerian selama empat hari bermula 6 November.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari, bermula 14 Okt hingga 12 Dis depan.