London: Mohamed Salah memberi bayangan mengenai masa depannya di Liverpool apabila bintang Mesir itu berkata dia tidak akan melupakan perasaan menjaringkan gol di Anfield “tidak kira apa yang berlaku.”
Salah memastikan Liverpool berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan jaringan kemenangan ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas Brighton, Sabtu lalu.
Jaringan kesembilan pemain berusia 32 tahun itu musim ini membuktikan betapa penting dirinya untuk Liverpool yang sedang memburu gelaran liga pertama sejak 2020.
Bagaimanapun, masa depan Salah masih tidak pasti kerana kontraknya akan tamat pada akhir musim ini.
Salah akan dibenarkan berunding dengan kelab bukan England mulai Januari depan, dan dia menimbulkan spekulasi mungkin sudah bersedia untuk meninggalkan kelab menerusi hantaran terbarunya di media sosial.
“Berada di puncak carta liga adalah tempat yang sepatutnya untuk kelab ini. Semua pasukan memenangi perlawanan tetapi hanya ada satu juara pada akhirnya. Itulah yang kami mahukan,” tulisnya di X, 24 jam selepas tendangan lencongnya menewaskan Brighton.
“Terima kasih atas sokongan anda. Tidak kira apa yang berlaku, saya tidak akan lupa bagaimana rasanya menjaringkan gol di Anfield,” katanya lagi.
Dibayar sekitar £350,000 (RM1.9 juta) seminggu, Salah mendedahkan selepas kemenangan 3-0 Liverpool ke atas Manchester United awal musim ini bahawa dia belum dihubungi oleh kelab mengenai kontrak baru.
“Sejujurnya, ketika datang ke perlawanan ini, saya berfikir mungkin ini kali terakhir (bermain di Old Trafford),” katanya kepada Sky Sports pada September lalu.
Namun, pengurus Liverpool, Arne Slot, tidak bimbang mengenai masa depan Salah atau kebimbangan peminat terhadap pemain pertahanan, Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold, yang juga akan tamat kontrak pada akhir musim ini.
“Situasi kontrak menjadi masalah jika pemain tidak beraksi dengan baik seperti sekarang,” katanya.