Kerugian pelaburan: PAC panggil Khazanah, PNB bulan depan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi memulakan prosiding berhubung kerugian RM43.9 juta yang diakibatkan pelaburan ke atas Fashionvalet.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin tanpa mengulas lanjut berkata prosiding tersebut dijangka diadakan pada minggu kedua Disember kelak.

Semalam dilaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan kira-kira 11 akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar bernilai RM1.1 juta.

Pembekuan menerusi Op Favish itu susulan siasatan terhadap pasangan terbabit berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah dan PNB yang mengundang pelbagai reaksi dan kontroversi baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, SPRM semalam menggeledah kediaman pasangan itu di Mont Kiara dan menyita 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira RM200,000.

Selain itu, kedua-dua pasangan tersebut dijangka meneruskan proses memberi keterangan hari ini.

Sebagai rekod, mereka mula dipanggil untuk memberi keterangan sejak Selasa yang lalu.-

Source :