KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju mengambil alih Litar Antarabangsa Sepang (Litar F1) dengan bayaran dibuat secara ansuran dalam tempoh lapan tahun mulai 2023 sehingga 2030.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keputusan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM46 juta setahun kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
“MAHB telah membina Litar Antarabangsa Sepang (Litar F1) dan dioperasikan oleh Sepang International Circuit Sdn. Bhd. (SICSB) sebagai salah satu cabang perniagaannya untuk mengembangkan aktiviti permotoran dan mempromosi Malaysia sebagai destinasi permotoran antarabangsa meliputi penganjuran F1 (Formula Satu) dan MotoGP ( Grand Prix motosikal)
“Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan aktiviti rantaian peniagaan berkaitan
permotoran dan industri pelancongan tempatan.
“Berikutan penstrukturan semula MAHB pada tahun 2008, kerajaan telah bersetuju untuk mengambil alih perniagaan bukan teras termasuk Litar F1 tersebut supaya MAHB boleh menumpukan kepada peranan sebagai operator dan pengurusan lapangan terbang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Seperti diketahui, Malaysia menjadi destinasi tetap perlumbaan empat roda berprestij iaitu F1 yang mula dianjurkan pada 1999 sebelum ia dihentikan pada tahun 2017.
Namun selepas tujuh tahun tidak dianjurkan, litar kebanggaan negara itu masih menjadi litar kegemaran ramai pasukan selain kekal menganjurkan acara tahunan Moto Grand Prix (GP). – MalaysiaGazette