Orang Asli bina bangsal atas bukit bersiap hadapi banjir

GUA MUSANG: Banjir besar 10 tahun lalu yang menyaksikan ramai penduduk Orang Asli terkandas di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis Blok A, di sini, menyebabkan mereka mula membina bangsal atas bukit.

Masyarakat Orang Asli suku Temiar itu memulakan usaha berkenaan sejak sebulan lalu secara bergotong-royong dan setakat ini, 60 bangsal sudah siap dibina sebagai tempat berlindung jika bah melanda lagi nanti.

Penghulu RPS Kuala Betis Blok A, Rodzi Asod, 49, berkata 320 keluarga membabitkan lebih 1,000 penduduk sudah membuat persiapan menghadapi bencana itu.

Katanya, bangsal berkenaan dibina menggunakan buluh, rotan, kayu bulat dan kanvas sebagai bumbung dengan setiap keluarga dianggar mengeluarkan belanja lebih RM300.

Sebuah bangsal boleh memuatkan sehingga tiga keluarga atau 20 orang, juga boleh menyimpan barangan serta dokumen penting.

“Biasanya kalau hujan lebat berlarutan tiga hari, kami akan mula pindah ke rumah bangsal bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga selain penyediaan bekalan makanan.

“Kami ambil iktibar banjir besar penghujung 2014 apabila ramai penduduk terputus hubungan, rumah ditenggelami banjir sehingga kami terpaksa menyelamatkan diri ke atas bukit,” katanya ketika ditemui.

Penduduk Orang Asli dari Kampung Jias A, Hasan Atin, 53, berkata dia mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkan sebuah rumah bangsal dengan bantuan tiga anaknya.

“Kami perlu ke hutan cari buluh dan kayu hutan sebelum bina rumah bangsal. Saya guna 50 batang buluh dan tiga helai kanvas untuk membina rumah bangsal yang dapat memuatkan 15 ahli keluarga.

“Setiap tahun kami perlu buat rumah bangsal baharu kerana kayu atau buluh mudah reput, hanya mampu bertahan dua bulan. Saya guna sumber hutan sepenuhnya, hanya beli kanvas RM120 sehelai,” katanya.

Bagi Akod Hahan, 53, pula, setiap tahun, sekiranya hujan berterusan, keluarganya tidak sempat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis.

“Ia kerana masalah jalan tanah serta jambatan yang dilimpahi air Sungai Nenggiri,” katanya yang mula membina bangsal di atas bukit untuk keluarganya sejak sebulan lalu.