15 GRO warga asing ditahan di pusat hiburan

JOHOR BAHRU: Polis menahan 15 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata serbuan menerusi Op Noda pada jam 1.30 pagi itu turut menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga kaunter berusia 35 tahun.

“Dalam serbuan ini, seramai 81 orang pengunjung termasuk pekerja di pusat hiburan itu diperiksa sebelum seorang lelaki tempatan ditahan.

“Turut ditahan 15 wanita warga asing berusia 20 hingga 34 tahun,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Raub, pihaknya merampas barangan seperti ‘mixer’, ‘speaker’ dan mikrofon selain tiga resit perniagaan serta tiga kain selempang tertera RM200, RM300 dan RM1,314.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati premis itu disyaki menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen, menggaji pekerja asing tanpa permit, menyalah gunakan pas lawatan dan bekerja tanpa permit yang sah.

Katanya, semakan lanjut mendapati semua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Seorang suspek direman dua hari bermula hari ini, manakala 15 suspek lagi dibenarkan direman empat hari bermula hari ini,” katanya.

Raub berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk serta berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah.

“Kita turut menyiasat kes mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor serta Seksyen 3(1) Undang-undang Kecil Perlesenan, Perniagaan dan Perindustrian kerana menjalankan kerja tanpa lesen,” katanya.