Nash belum puas belajar, kini sasar PhD

TANJUNG MALIM: Selepas memperolehi Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q, penyanyi terkenal, Datuk Nash kini merancang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Phd).

“Dengan sokongan keluarga, saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran peringkat PhD selepas ini bagi mencari kepuasan dalam hidup sebagai anak seni,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-26 di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini, hari ini.

Nasih atau nama sebenarnya Nashrudin Elias adalah antara 7,172 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (Phd) pada konvokesyen berkenaan yang bermula hari ini hingga 30 November.

Nasih berkata kejayaannya mendapat Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q adalah pencapaian besar beliau sebagai anak seni.

Susulan kejayaannya itu, beliau berhasrat mengajak lebih ramai lagi rakan seperjuangan terutama penggiat seni untuk tambah nilai dengan melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tinggi.

“Pihak universiti sudah sediakan tapak untuk pengiat seni yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang atau kerjaya seni diceburi.

“Peluang sudah ada, maka kena belajarlah bersunguh-sungguh. Jika kita berada di dalam bidang persembahan, maka kita kenalah belajar cara pengurusan persembahan dan teknikal.

“Alhamdulillah, saya rasa bertuah di negara ini terdapat universiti memberi peluang kepada penggiat seni,” katanya.

Mengenai kejayaannya memperolehi Ijazah Sarjana, Nash berkata umur bukan penghalang untuk beliau menyambung pelajaran apabila dapat menghabiskannya dalam tempoh dua tahun.

“Cabaran memang besar sebab banyak tugasan yang perlu disiapkan dalam keadaan mata sudah pun rabun. Namun Alhamdulillah, saya dapat siapkan dalam dua tahun,” katanya.

Pada istiadat konvokesyen UPSI itu, penggiat seni terkenal tanah air, Datuk M Nasir dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan.