Banjir di Kelantan makin buruk, tiga negeri lain tiada perubahan

Tinjauan menunjukkan keadaan beberapa kawasan penempatan penduduk yang dilanda banjir kembali surut di Marang, Terengganu, 26 Nov 2024. –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di empat negeri meningkat kepada 1,332 daripada 387 keluarga, setakat jam 6 pagi ini.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 48 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Kelantan, Terengganu, Johor dan Sarawak.

Kelantan menjadi negeri paling teruk terjejas apabila banjir gelombang kedua melanda negeri itu, pada Selasa.

Seramai 1,223 mangsa daripada 357 keluarga yang ditempatkan di 37 PPS yang dibuka.

Antara daerah terjejas adalah Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok.

Sementara itu, banjir di Terengganu tidak menunjukkan banyak perubahan dengan mangsa banjir dicatatkan seramai 64 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.

Kawasan yang masih terjejas banjir di Marang dan Besut.

Bagi Johor pula, seramai 28 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di sebuah PPS yang dibuka di Segamat.

Negeri terakhir terjejas ialah Sarawak dengan 18 mangsa daripada empat keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS di Betong.

Source :