Gadis diculik tujuh remaja dirogol kenalan aplikasi OMI

PELABUHAN KLANG – Gadis yang diculik oleh tujuh remaja pada 16 November lalu disahkan menjadi mangsa rogol kenalannya yang dikenali melalui aplikasi sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati mangsa telah mengenali suspek lelaki tempatan sejak tiga minggu lalu melalui aplikasi sosial OMI.

“Ya ada (serangan seksual), mangsa telah dirogol oleh suspek kenalannya di sebuah hotel di Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan ringkas tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semasa kejadian mangsa tidak diculik remaja itu dengan menaiki kereta.

“Tidak (bukan diculik dengan kereta), mangsa dengan rela menaiki sebuah kereta e-hailing yang dipesanan oleh suspek lelaki kenalan di OMI itu,” ujarnya.

Terdahulu, Hoong Fong mengesahkan tangkapan tujuh suspek remaja termasuk dua perempuan di dua lokasi berasingan pada 18 dan 19 November lalu di Seksyen 7 Shah Alam dan pekarangan sebuah pusat membeli belah Mid Valley Megamall, Bangsar.

Tangkapan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada bapa mangsa yang memaklumkan anak perempuannya yang berusia 15 tahun telah keluar dari rumah pada jam 4 petang.

Sehingga 6.30 petang, anaknya masih belum pulang.

Katanya, hasil siasatan mendapati, mangsa telah keluar dari rumahnya di sebuah pangsapuri di Lorong Berembang di Taman Kem, Pelabuhan Klang.

“Pesanan suara yang diterima pengadu memintanya untuk mengambil mangsa di Subang dalam keadaan sedang bertengkar dengan seorang lelaki disyaki suspek serta menghantar lokasi kedudukan semasa mangsa.

“Pengadu telah bergegas ke lokasi tersebut untuk mendapatkan anaknya tetapi sejurus tiba di sana, dia mendapati mangsa tiada di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Pengadu kemudian menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek menyatakan dia akan melepaskan mangsa di kawasan Kuala Lumpur.

Namun apabila pengadu memberitahu akan membuat laporan polis, suspek mengugut akan menjual mangsa dan meminta membayar ganti rugi jika hendak pulangkan mangsa.

Menurut Hoong Fong, polis berjaya menemui dan menyelamatkan mangsa dalam serbuan pertama di sebuah pangsapuri di i-City Seksyen 7, Shah Alam.

Kes disiasat di bawah 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengambil atau memikat kanak-kanak perempuan berumur 16 tahun ke bawah tanpa kerelaan penjaga yang sah.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Kesemua suspek itu, direman dan disiasat sehingga 22 November lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan untuk tindakan selanjutnya.-MalaysiaGazette

Source :