Saksi pendakwaan diganggu secara lisan, Hakim Mahkamah Tawau beri amaran keluarga tertuduh

TAWAU: Hakim Datuk Duncan Sikodol yang mengendalikan perbicaraan kes bunuh membabitkan 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberi amaran kepada keluarga tertuduh supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan sepanjang prosiding berlangsung.

Amaran itu dikeluarkan berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif yang memaklumkan saksi pendakwaan beliau diganggu secara lisan oleh ahli keluarga tertuduh ketika menuruni tangga semasa keluar dari mahkamah selepas prosiding selesai, pada petang Selasa.

Bagaimanapun, katanya, saksi berkenaan tidak dapat mengenalpasti identiti pelaku berkenaan memandangkan terdapat ramai individu ketika kejadian yang berlaku secara terbuka di kawasan awam.

Nur Nisla berkata, laporan polis dibuat saksi berkenaan kerana khuatir akan keselamatan dirinya, memandangkan beliau bukan berasal dari daerah itu.

Tambahnya lagi, kejadian sama turut menimpa seorang lagi saksi pendakwaan hari ini iaitu ibu mangsa ketika sedang menunggu giliran untuk diambil keterangan turut memaklumkan bahawa beberapa ahli keluarga tertuduh mendekatinya dan ada di kalangan mereka menunjuk ke arah abangnya yang hadir mengiringi beliau di mahkamah.

“Yang Arif, memandangkan perbicaraan kes ini baharu sahaja bermula dan ramai ahli keluarga tertuduh hadir sama ada di dalam galeri awam ataupun menunggu di luar, saya mohon amaran diberikan supaya tidak mengganggu aksi pendakwaan.

“Hal ini kerana, pihak pendakwaan tidak boleh mengawal mana-mana orang atau individu untuk menghadiri prosiding perbicaraan kes ini,” katanya.

Susulan itu, Duncan kemudiannya memberi amaran dan peringatan kepada ahli keluarga tertuduh yang berada di galeri awam bahawa perkara tersebut (mengugut saksi) adalah kesalahan serius selepas laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

“Kalau perkara ini diterima oleh mahkamah sekali lagi, saya akan buat arahan tiada seorang pun (keluarga) yang boleh datang ke mahkamah dan tidak boleh datang ke Tawau sepanjang tempoh perbicaraan.

“Tolong beritahu saudara-saudara yang ada di luar… kalau ada yang buat, kamu semua tidak akan dibenarkan datang ke mahkamah,” tegasnya.

Prosiding perbicaraan kes itu memasuki hari keempat hari ini yang menyaksikan lima saksi pendakwaan sudah dipanggil memberi keterangan setakat ini.