KUALA LUMPUR: Pengendali baharu Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi menjanjikan permainan bola sepak yang agresif selepas bakal mengendalikan perlawanan pertamanya apabila menentang Muangthong United bagi aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), malam ini.
Bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan Serbia itu berkata, mereka turun ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan misi untuk tidak mencicirkan mata sekali gus mengharapkan anak buahnya dapat mengutip kemenangan apatah lagi beraksi di laman sendiri.
“Fokus saya adalah pasukan kita sendiri dan saya tidak melihat kepada pasukan lain. Kita fokus untuk dapatkan mata supaya kita ada peluang yang baik untuk meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.
“Corak permainan saya adalah bola sepak yang agresif dan tidak menyerah kalah sehingga ke penghujungnya. Itulah yang akan anda saksikan pada perlawanan ini.
“Corak agresif itu adalah mengejar bola, mendapatkan bola dan cuba menjaringkan gol. Tetapi kita tahu ini bukanlah perkara yang mudah untuk kekal agresif sepanjang 90 minit apabila beraksi dengan cuaca sebegini dan menentang lawan kuat seperti Muangthong United.
“Tetapi kita perlu meneruskan cara seperti ini dan berdisiplin serta bermain sebagai satu pasukan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Katsuhito turut melihat anak buahnya begitu bersemangat untuk beraksi dan perkara itu jelas menggembirakannya menjelang pertemuan dengan Muangthong United.
“Saya lihat pemain begitu bersemangat tinggi untuk menunjukkan kemampuan. Jadi mereka perlu gunakan kekuatan ini sebagai motivasi untuk bermain,” katanya.
Sebagai rekod, ‘The Red Giants’ kini menghuni tangga kedua Kumpulan H ACL2 dengan tujuh mata, hanya dua mata di atas wakil Thailand itu yang mengutip lima mata selepas empat perlawanan.