KUALA LUMPUR- Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberi komitmen meneliti semula dan memperkukuh latihan serta mekanisme pemantauan berkaitan aktiviti kokurikulum badan beruniform.
Ia susulan kematian seorang pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) universiti itu, 13 November lalu.
Timbalan Naib Canselor Komunikasi Strategik UiTM, Ismie Roha Mohamed Jais berkata, perkara tersebut sudah pun dilapor dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, UiTM bersedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang dijalankan.
“UiTM berasa amat berdukacita dan ingin menyampaikan ucapan takziah dan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga pelajar berkenaan dan akan memberi sepenuhnya kerjasama kepada siasatan insiden terbabit.
“Pihak pengurusan UiTM memandang serius kejadian yang telah dilaporkan dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kes ini.
“UiTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pelajarnya sentiasa diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang pelatih PALAPES UiTM meninggal dunia pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.
Menurut portal itu, bapa mangsa mendakwa anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.
Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mengesahkan kematian seorang penuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ketika melaksanakan sesi latihan seliaan jurulatih tentera.
Dalam kenyataan di sini, hari ini, ATM memaklumkan kes berkenaan sedang dalam siasatan Cawangan Provos Marsyal, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). -MalaysiaGazette