Dua beranak tak mengaku salah terima deposit RM50,000 tanpa lesen

BALIK PULAU: Anak dan bapa didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menerima deposit berjumlah RM50,000 tanpa lesen daripada seorang lelaki bagi pelaburan syarikat perkhidmatan pembersihan, sembilan tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Abang Fikri Azad Abang Mohamad Arip, 35, dan bapanya, Abang Mohamad Arip Abang Aerowaini, 70, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut pertuduhan kedua-dua mereka didapati menerima wang deposit RM50,000 daripada Zakaria Abdul Rahman, 38, tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Bekas anggota pasukan beruniform dan bapanya yang merupakan pesara badan beruniform sama didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Bayan Baru dekat sini antara 8 Mei hingga 5 Jun 2015.

Bagi kesalahan itu kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 137 (2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan dilarang ganggu saksi pendakwaan dan lapor diri di balai polis berhampiran kediaman serta serah pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, S Jeevah yang mewakili dua beranak itu meminta jaminan minimum atas alasan anak guamnya kini bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan bulan antara RM1,500 hingga RM2,000 dan perlu menyara isteri, dua anak serta ibu bapa mentuanya.

Tertuduh kedua pula merupakan pesara kerajaan yang menerima pencen bulanan berjumlah RM2,000 dan menyara isterinya.

Hakim kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM36,000 bagi semua pertuduhan bersama seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan seperti yang ditawarkan Jin Hong.

Mahkamah menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.