Jumlah mangsa banjir di Kelantan lebih 56,000 setakat 6 pagi tadi

KUALA LUMPUR – Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi sebanyak 56,029 membabitkan 17,553 keluarga setakat jam 6 pagi tadi.

Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi sebanyak 20,693 orang, diikuti Tumpat (8,435) dan Kuala Krai (5,253)

Manakala Terengganu pula mencatatkan 20,754 mangsa banjir melibatkan 5,875 keluarga.

Kedah pula merekod 2,829 mangsa banjir, Negeri Sembilan (307), Perlis (488), Selangor (117) dan Perak (65).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam laporan terkini kejadian bencana seluruh negara turut memaklumkan sebanyak empat kematian direkodkan di Kelantan (dua) dan masing-masing satu kes di Terengganu dan Sarawak.

Menurutnya, kes banjir di Kelantan menyaksikan peningkatan di 10 daerah iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Tumpat dan Gua Musang.

Di Terengganu daerah terlibat ialah Marang, Besut, Hulu Terengganu, Setiu, Dungun, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Sebanyak empat daerah banjir di Kedah iaitu Kubang Pasu, Sik , Padang Terap dan Pokok Sena,

Daerah banjir di Perak dilaporkan di Kerian, Kapit di Sarawak; Klang, Selangor dan Negeri Sembilan di Tampin dan Kuala Pilah.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai); Terengganu; dan Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) sehingga hari ni.

Hujan sangat lebat berterusan juga berlaku di Terengganu (Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman); dan Pahang (Pekan, Jerantut, Maran, Rompin dan Kuantan, Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera)) hari ini.

MetMalaysia turut memaklumkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Perlis; Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling); Perak (Hulu Perak); Johor (Mersing) hari ini. – MalaysiaGazette

Source :